SARATOK: Pihak polis terus menggempur aktiviti judi haram bagi membanteras kegiatan tersebut daripada berterusan.

Semalam seorang lagi diberkas pihak polis kerana didapati terlibat dengan kegiatan judi dalam talian (online gambling) bertempat di belakang kedai di Centre Jalan Temenggong Tanduk di sini.

Tangkapan dilakukan oleh anggota polis dari IPD Saratok membabitkan seorang lelaki berusia 35 tahun ketika serbuan dan pemeriksaan dibuat di sebuah premis sekitar jam 1.10 minit petang.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mordani Tanin mengesahkan perkara tersebut dan memberitahu ketika diserbu suspek didapati menjalankan kegiatan judi haram iaitu penjualan kad tambah nilai judi secara ‘online’.

“Sepasukan anggota dari IPD Saratok telah melakukan pemeriksaan terhadap suspek. Setelah diperiksa didapati barang-barang yang digunakan untuk penjualan reload judi online berada bersama dengan lelaki tersebut. Pihak polis menahan suspek dan barang rampasan.

“Butiran rampasan adalah 1 unit telefon Jenama Iphone 7 Plus warna hitam yang ditanda MH1

“Tujuh keratan kertas bertulis ID Judi Atas Talian yang ditanda MH2(a), MH2(b), MH2(c), MH2(d), MH2(e), MH2(f) dan MH2(g),satu batang pen dakwat hitam jenama Beita, dan wang tunai campur-campur berjumlah RM 337.00,”ujarnya.

Tambah Mordani, suspek yang mempunyai dua rekod kesalahan lampau kemudiannya dibawa ke Balai Polis Saratok untuk siasatan lanjut di bawah Sek. 4(1)(c) ARJT 1953 kerana menjalankan kegiatan Judi ‘online’.

Suspek kini ditahan reman tiga hari dan bagi tujuan siasatan lanjut.