Jumlah kumulatif kes positif global Covid-19 kini melebihi 35.12 juta.

Ini berikutan lebih 290,000 jangkitan baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam.

Jumlah kematian pula ialah 1, 037,524 setakat pagi ini.

Data terbaharu penjejak data berkenaan, Worldometers menunjukkan Amerika Syarikat (AS) kekal sebagai negara paling teruk terjejas dengan 7.6 juta kes jangkitan dengan Presidennya Donald Trump turut dilaporkan positif.

Negara Uncle Sam itu juga muncul nombor satu dari segi kes kematian dengan lebih 214,000 kes.

Ini diikuti India dengan 6.5 juta kes dengan lebih 100,000 kematian, manakala Brazil merekodkan 4.9 juta  dengan 146,000 kes kematian.

Jangkitan Covid-19 di Rusia pula melepasi angka 1.2 juta kes dengan 21,000 kematian.

Sementara itu Colombia, Peru, Sepanyol, Mexico, Argentina, Afrika Selatan dan Perancis melepasi angka setengah juta kes.

Colombia merekodkan lebih 824,000 kes dengan 26,000 kematian manakala Peru mencatatkan 824,000 kes dengan 32,000 kematian.

Antara negara yang merekodkan angka jangkitan dalam lingkungan 300,000 hingga 500,000 ialah United Kingdom, Chile, Iran, Iraq, dan Bangladesh.

Sementara itu, negara yang melepasi angka 100,000 hingga 200,000 ialah Jerman, Indonesia, Ukraine, Kanada, Ecuador, Bolivia, dan Qatar.