Semalam Ketua Menteri Sarawak Datuk Abang Johari memberikan isyarat bahawa pilihan raya negeri Sarawak boleh sahaja berlaku pada bila-bila masa walaupun di peringkat nasional wabak covid-19 masih lagi membimbangkan.

Kes Covid-19 melonjak selepas pilihan raya negeri Sabah yang mencatatkan 317 kes manakala sebelum itu terdapat, 260 kes, dan 287 kes dalam beberapa hari lepas. Daripada keseluruhan kes tersebut banyak berlaku di Sabah dan Kedah dan di Sarawak pula masih terkawal. Sebelum ini, jumlah kes covid tertinggi negara dilaporkan pada 4 Jun, iaitu sebanyak 277 kes.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melaporkan pula tidak ada keperluan untuk melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

Hal ini kerana ia kes berkelompok dan terasing daripada komuniti. Misalnya, meskipun angka positif koronavirus (Covid-19) dilihat tinggi, namun kebanyakan kes itu melibatkan tahanan penjara. Misalnya walaupun mencatatkan jumlah 287 kes akan tetapi 128 daripada 129 kes di Kedah melibatkan Kluster Tembok iaitu mereka di dalam penjara. Jadi, masih terkawal kerana yang terkena itu berada dalam penjara dan sudah diasingkan.

Pendekatan

Di negeri-negeri angka kes masih rendah, kecuali Selangor terdapat 31 kes namun belum berada di tahap merah dan langkah-langkah pencegahan dan kawalan semakin diperketatkan. Menurut Menteri Kanan keselamatan adalah tidak rasional untuk mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya disebabkan oleh beberapa kes kecildi beberapa negeri. Sedangkan, kes-kes kecil tersebut boleh ditangani.

Hal ini bermakna kerajaan lebih menggunakan pendekatan bersasar dilaksanakan. Sekiranya ada negeri melepasi angka merah, maka kerajaan akan mengenal pasti kawasan khusus di negeri tersebut untuk dikenakan sekatan berdasarkan kawasan yang terlibat. Sekiranya berlaku peningkatan tinggi di Selangor misalnya, maka tidak akan dilaksanakan sekatan pergerakan seluruh negara atau seluruh negeri itu mahupun seluruh daerah.

Sekiranya ini dilakukan, maka ia boleh menjejaskan ekonomi negara yang baru berada dalam fasa pemulihan. Rakyat akan lebih panik, dan ada pula yang marah kerana tidak dapat bekerja mencari rezeki sedangkan kawasan mereka ialah kawasan putih. Sedangkan yang terlibat hanyalah satu kawasan flat atau kampung sahaja. Bayangkanlah apabila sekiranya berlaku tiga kes covid-19 di Hulu Langat, Selangor bangunan perniagaan seperti KLCC dan Sogo diarah tutup walaupun lokasi sangat jauh di antara satu sama lain. Begitu juga kes Covid di Kedah dan Sabah, negeri-negeri lain terpaksa dilaksanakan PKP. Tentulah tidak sesuai, tidak praktis dan boleh menjejaskan ekonomi rakyat dan pembangunan itu sendiri.

Dalam keadaan ekonomi negara yang baru digerakkan semula selepas PKP tiga bulan, menangani wabak ini secara lebih bersasar sangat diperlukan dan tidak boleh bersikap ‘marahkan nyamuk, kelambu dibakarkan’. Pada masa yang sama, sikap berjaga-jaga perlu ada, tidak ambil mudah, jangan ambil lewa dan tidak boleh berasa selesa, selain mengamalkan penjarakan fizikal dan mengambil langkah-langkah yang bersesuaian dengan seruan kerajaan. Justeru, pilihan raya negeri Sarawak dijangka diadakan ketika kes covid-19 berada dalam zon putih atau hijau sama ada diadakan pada hujung tahun atau awal tahun depan.

Politik Sarawak

Namun politik Sarawak kini berada dilema. PRN Sarawak ke-11 diadakan pada 7 Mei 2016 dan ini bermakna tempoh akhir mengadakan pilihan raya negeri ialah Julai 2021 manakala DUN terbubar sendiri pada 7 Jun 2021. Sekiranya ditangguh, tarikh akhir untuk mengadakan PRN Negeri ialah sebelum 7 September 2021.

Namun sudah pasti pasti, pimpinan politik di Sarawak tidak mahu mengadakan PRN pada bulan-bulan terakhir kerana terlalu banyak risiko yang terpaksa diambil. Misalnya, apa-apa boleh berlaku khususnya mengenai isu-isu yang tidak disangka, terlepas pandang hingga kepada terlepas cakap. Sudah pasti ia mampu memberikan reaksi balas, kemarahan, protes rakyat dalam bentuk undi. Berdasarkan pola dan rekod sejarah pilihan raya negeri Sarawak, lazimnya akan diadakan sehingga setahun lebih awal daripada penggal dewan undangan negeri berakhir.

Pengalaman PRN Disember

Malah pernah diadakan pilihan raya negeri Sarawak diadakan pada bulan Disember, iaitu bulan yang dianggap sebagai musim tengkujuh, landas dan bulan ketika ramai anak-anak bercuti sekolah dan melakukan percutian hujung tahun dan bersiap sedia menyambut tahun baru. Namun dalam politik tidak ada yang mustahil. Dewan Undangan Negeri Sarawak pernah bubar pada 18 November 1983, iaitu setahun 15 hari lebih awal dibubarkan berbanding tarikh asal pada 3 Disember 1984.

Justeru, pilihan raya negeri Sarawak ke-4 tersebut diadakan pada 28 dan 29 Disember 1983 manakala penamaan calon diadakan pada 8 Disember 1983. Dalam PRN tersebut Sarawak berjaya memenangi 30 daripada 38 kerusi yang dipertandingkan. Situasi ini menunjukkan Sarawak boleh menang besar walaupun diadakan pada musim landas atau tengkujuh pada hujung tahun.

Daripada PRN Sarawak ke-4 ini ternyata, kenyataan Abang Johari selaku pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu dilihat sebagai isyarat bahawa pilihan raya negeri Sarawak dijangka tidak lama lagi. Abang Johari presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) lebih tahu persediaan parti-parti di bawah kawalannya dan lebih tahu formula untuk memperoleh kemenangan yang lebih baik untuk mendapat mandat baru lebih baik dengan Team Johari yang berbeza dengan Team Adenan 4 tahun dahulu.

Pengumuman pelancaran TV Sarawak pada 10 Oktober nanti sebagai lambang bahawa Sarawak mampu mempunyai badan penyiaran sendiri dan tidak bergantung kepada badan penyiaran luar. Ia pengukuh kepada kejayaan memperoleh hasil cukai jualan (SST) petroleum sekitar RM3 bilion daripada Petronas yang mampu meningkatkan populariti Abang Johari sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Sudah tentu pembangkang di Sarawak dalam keadaan kurang bersedia, kerana kerajaan Perikatan Nasional popular hasil daripada dasar moratorium 6 bulan dan pelaksanaan pelan rangsangan ekonomi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan terdapat pemberian tunai tambahan menerusi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 berjumlah RM7 bilion baru-baru ini merupakan senjata digunakan PN untuk menarik pengundi menyokong PN.

Tambahan pula, perubahan kepimpinan di Putrajaya yang bukan lagi dikuasai oleh Pakatan Harapan menyebabkan pembangkang khususnya DAP tidak lagi ada tempat pergantungan politik. Kepimpinan di Putrajaya mampu memberikan perbezaan dan kesan dalam menentukan kemenangan di peringkat negeri sebagaimana berlaku dalam pilihan raya negeri di Sabah yang merupakan contoh yang sangat jelas.

PN mendapat sokongan disebabkan rakyat menaruh harapan agar isu ekonomi rakyat dapat diselesaikan kerana mahukan kerajaan yang stabil, mempunyai dasar yang lebih jelas, ada kuasa dalam membuat keputusan dan tindakan. Kesemua ini memihak kepada GPS yang selain mempunyai kekuatan sendiri di Sarawak, GPS bekerjasama dengan Putrajaya dalam hal ehwal bantuan dan peruntukan yang lebih lancar. Di sinilah kebimbangan pembangkang mengadakan pilihan raya dalam masa terdekat bertempat.

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.