KUCHING: Usahawan mikro yang berjaya dan mendapat pengiktirafan di bawah kategori Platinum dan juga Diamond, berpeluang melawat ke negara Jepun dan Korea selama seminggu, dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak.
Menurut Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, dengan semangat keusahawanan yang ada, pendedahan perlu diberikan agar mereka memperoleh manfaat dengan berbekalkan ilmu bagi mempertingkatkan lagi perniagaan di negeri ini.
“Kedua-dua negara ini ada satu kepakaran di dalam SME dan alat-alat yang digunakan di dalam proses untuk menghasilkan barang-barang makanan,”
“Oleh itu kita bekerjasama dengan kedutaan di dua negara itu. Saya harap apabila mereka balik, mereka dapat manfaat daripada apa yang mereka lihat di sana. Ini satu lagi pendekatan kita untuk mempertingkatkan perniagaan,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Hari Usahawan Mikro Kebajikan Sarawak 2020, bertemakan “UMK Berjaya, Keluarga Sejahtera” di Pullman Hotel Kuching, semalam.
Selain itu, jelas Ketua Menteri, kerajaan negeri juga telah mengutarakan beberapa pendekatan baru, melalui program (I-SURI) iaitu Caruman Sukarela Insentif Suri, yang mana bajetnya telah dikemukakan bernilai RM17 Juta untuk membantu masyarakat membayar caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Ini adalah program kita bekerjasama dgn EPF KWSP, carumannya kita bayar daripada kerajaan kita dan sudah tentu mereka akan didafterkan dibawah KWSP dan mereka akan mendapat manfaat daripada apa juga diberi oleh KWSP, dan saya telah meluluskan semua RM17 juta untuk membantu mereka,” jelas beliau.
Disamping Itu, Ketua Menteri juga telah meluluskan untuk menambah elaun Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) seperti yang dicadangkan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga Dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan Anugerah UMK kepada dua usahawan yang paling tinggi jualannya, dimenangi oleh Nasimah Bujang (Usahawan ‘Nassima Cookies’, Kpg Tabuan Melayu Kuching) dan Marlini Nyalu (Usahawan Nasi Ayam, Gerai Food Court King Centre Kuching).