KAPIT: Sebanyak 13 rumah panjang yang didiami 290 isi rumah di Kecamatan Nanga Merit, di sini, kini memiliki akses tenaga solar 24 jam,  melalui inisiatif Pelaksanaan Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (Sares) yang dibiayai oleh Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan dilaksanakan oleh Sarawak Energy.

Menteri Muda Utiliti (Elektrik Luar Bandar) Datuk Liwan Lagang berkata, dengan pemasangan bekalan tenaga tersebut, ia akan memudahkan rakyat daripada bergantung terus kepada sistem jana kuasa seperti sebelumnya.

“Tiga belas kampung ini sangat terpencil dan tidak mempunyai akses jalan yang baik untuk memudahkan proses penyambungan bekalan elektrik sampai ke grid.

“Bagaimanapun, melalui khidmat Sares, kita dapat menjangkau mereka lebih awal dengan membekalkan kemudahan tenaga yang boleh dipercayai dan diperbaharui ini,” katanya.

Beliau berkata demikian, dalam ucapannya mewakili Menteri Utiliti Datuk Seri Dr. Stephen Rundi Utom merasmikan majlis tersebut di Rumah Entili, Kapit, pada Selasa.

Menurutnya, semua penduduk berhak untuk memastikan sistem tersebut dijaga dengan baik sehingga projek berjaya diselesai dan dilaksanakan dengan baik. Hal ini kerana, penyediaan sistem Sares adalah untuk memberi akses elektrik kepada penduduk di kawasan luar bandar sama seperti di bandar.

“Walaupun tidak perlu membayar bil elektrik, namun penduduk mempunyai tanggungjawab untuk mengurus dan menyelenggara sistem itu. “Sistem ini akan menggantikan sistem penjana diesel serta memudahkan kehidupan masyarakat di sini dan di banyak komuniti terpencil di Sarawak.

“Kami berharap agar penduduk setempat dapat menjaga sistem ini agar bertahan sampai bertahun-tahun,” katanya lagi.

Difahamkan, Kerajaan Sarawak dan Kementerian Utiliti melalui Sarawak Energy akan membekalkan tenaga elektrik 24 jam kepada 22,360 isi rumah di luar bandar dalam tempoh beberapa tahun akan datang dengan memperluaskan infrastruktur penghantaran dan pengedaran ke lebih banyak kawasan luar bandar atau menyediakan penyelesaian sistem yang berdiri sendiri seperti Sares.

Dengan itu, lebih RM2.37 bilion telah diperuntukkan oleh Kerajaan Sarawak untuk projek elektrik dalam dua tahun ini.

Sistem Sares menyediakan 3.000 Wh tenaga elektrik yang boleh diperbaharui setiap hari, untuk memenuhi keperluan asas isi rumah luar bandar seperti lampu, kipas angin, televisyen, peti sejuk kecil dan periuk nasi untuk mengurangkan kos yang ditanggung sebelumnya.

Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong; Naib Presiden Elektrik Luar Bandar dan Pasukan Sares Dr. Chen Shiun dan Temenggong Ajang Sirek antara yang turut hadir.