LAWAS: Perkembangan teknologi dan inovasi di dalam Jabatan Tanah dan Survey telah memudahkan kerja-kerja dalam hal berkaitan pentadbiran tanah di Sarawak.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerjasama Jabatan Tanah dan Survey dengan SAINS dalam penciptaan sistem LASIS telah berjaya membawa kepada kemudahan dalam pengurusan tanah di negeri ini.
“Saya melihat bahawa di Jabatan Tanah dan Survey, kita telah memanfaatkan teknologi maklumat (ICT) dan jabatan inilah yang pertama mengaplikasikannya.
“Kita telah bekerjasama dengan SAINS untuk bangunkan sistem LASIS.
“Semasa di Belanda, kita di Jabatan Tanah dan Survey telah mendapat anugerah istimewa daripada banyak negara yang mengambil bahagian,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Makan Malam Sempena Hari Inovasi dan Integriti Jabatan Tanah dan Survei Sarawak di Hotel Seri Malaysia, Lawas pada Selasa.
Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Menteri Pembangunan Usahawan Sarawak turut menambah menerusi Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK), Jabatan Tanah dan Survey telah mencipta cara terbaik dalam menyelesaikan permasalahan berkaitan pentadbiran tanah.
“Setiap kali kita mengadakan Hari Inovasi dan Integriti ini khususnya dalam KIK, kita dapat mengemukakan projek dan mencari jalan penyelesaiannya.
“Apa yang menarikanya, di Jabatan Tanah dan Survey ini projek-projek yang dikemukakan dalam kumpulan KIK ini telah mengambil kira bagaimana kita hendak menambah baik dan ianya tidak tinggal begitu sahaja.
“Di sini, kita memperbaiki cara pengurusan dan pentadbiran untuk mengubah kaedah-kaedah kita yang digunakan sebelum ini. Inilah yang bagusnya dalam Jabatan Tanah dan Survey,” tambahnya.
Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II merangkap Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II Datu Zaidi Mahdi dan Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak Abdullah Julaihi.