KUCHING: Majlis Perasmian Hari Usahawan Mikro Kebajikan (UMK) Sarawak 2020, yang berlangsung di Pullman Hotel Kuching pada Rabu adalah bagi memberi pengiktirafan kepada penerima bantuan kebajikan produktif yang berjaya dan telah meningkatkan pendapatan bersih bulanan melepasi paras Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) iaitu RM1,020 sebulan.
Bertemakan “UMK Berjaya, Keluarga Sejahtera”, majlis yang dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg itu diadakan mengikut norma baharu dengan jemputan seramai 116 orang UMK dari seluruh negeri Sarawak dan secara live streaming bersama UMK-UMK lain yang telah di jemput di 12 Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (PKMB).
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah dalam ucapannya berkata, majlis itu juga bertujuan bagi meraikan UMK yang telah mencapai kecemerlangan, sekaligus menerima anugerah yang disampaikan oleh Ketua Menteri.
“Dua UMK mencapai tahap Platinum dengan jualan tahunan melebihi RM300,000 setahun; seorang UMK mencapai tahap Diamond dengan jualan tahunan RM150,000 hingga RM299,000 setahun; tujuh orang UMK mencapai tahap Silver dengan jualan tahunan RM50,000 hingga RM99,000 setahun, manakala seramai 106 UMK telah meraih tahap Bronze dengan jualan RM12,000 sehingga RM49,000 setahun,” jelasnya.
Selain itu, terdapat empat perkara juga telah beliau kemukakan untuk pertimbangan Kerajaan Negeri, antaranya: Menyediakan peruntukan tambahan kepada elaun petugas dan penyelia Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), Memohon agar pelantikan Therapist diserapkan ke jawatan tetap atau Jawatan Berasaskan Caruman (JBC) mengikut kelayakan masing-masing, Penambahan bilangan pegawai dan kakitangan JKMS negeri serta berhubung kuantum bantuan penerima bantuan bulanan kebajikan.