KETIKA dunia belum mempunyai Facebook serta WhatsApp, seorang guru ada bercerita tentang keadaan sekolah tempat dia mengajar.

Guru itu berasal dari Semenanjung dan bertugas di sebuah sekolah di pedalaman. Dia menceritakan sekolah itu berada dalam keadaan daif dan memerlukan perhatian segera.

Ini bagi memastikan keselamatan setiap pelajarnya terjamin. Dia meluahkan cerita itu dengan media agar masalah itu segera diatasi.

Katanya, dia tidak kisah tinggal di rumah usang, asalkan pelajarnya dapat belajar dalam keadaan selesa. Setelah ceritanya disiarkan oleh akhbar, tindakan segera telah diambil.

Sekolah itu berubah wajah, dan tiada lagi isu sekolah tidak selamat.

Namun dia tidak sempat melihat perubahan sekolah itu kerana khidmatnya lebih diperlukan di sekolah lain. Apa-apa pun, dia gembira kerana usahanya untuk mengubah keadaan sekolah itu akhirnya berjaya.

Itu antara sekolah daif yang perlu dibaik pulih, dinaik taraf atau dibina semula.

Di negeri ini, lebih seribu sekolah berada dalam keadaan daif dan memerlukan perhatian menyeluruh bagi memastikan setiap anak bergelar pelajar mendapat pendidikan yang sempurna dalam suasana yang selesa.

Dana sudah ada, dan ada juga sekolah daif yang mula dinaik taraf atau dibaik pulih.

Malah, kerja-kerja baik pulih sekolah itu, yang kebanyakannya berada di luar bandar kini berjalan lancar. Pelaksanaan projek itu dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya Sarawak dan dipantau oleh Kementerian Kerja Raya serta Kementerian Pendidikan Malaysia.

Ini merupakan projek masa depan negeri ini – juga masa depan setiap anak Sarawak tidak kira di bandar, luar bandar atau pedalaman.

Jika infrastruktur sekolah berada dalam keadaan baik, keselamatan pelajar, guru serta kakitangan bukan guru akan lebih terjamin.

Jika keselamatan terjamin, ibu bapa tidak risau untuk menghantar anak-anak ke sekolah. Kesimpulannya, guru gembira mengajar, anak-anak pula bersemangat untuk belajar yang akhirnya akan dapat memastikan setiap pelajar cemerlang terutama dalam peperiksaan awam yang mereka duduki. Jelas pendidikan merupakan aspek penting yang menjadi tumpuan Kerajaan Sarawak,

termasuk usaha untuk mewujudkan sekolah menengah antarabangsa. Bukan satu, bukan dua, tetapi lima sekolah antarabangsa akan diwujudkan.

Penubuhan sekolah ini akan dikendalikan oleh syarikat swasta, seperti juga sekolah antarabangsa lain yang kini beroperasi. Paling penting ia tidak melanggar Akta Pendidikan 1996 yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, seperti dinyatakan oleh Profesor Teo Kok Seong dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Seri Michael Manyin Jawong berkata, Seksyen 15 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) tidak termasuk pendidikan di sekolah antarabangsa dan ia dikendalikan oleh syarikat swasta yang berdaftar di bawah Akta Syarikat 2006.

Kenyataan profesor itu cuma cabaran kecil, kerana cabaran besar adalah untuk memastikan setiap anak Sarawak mendapat pendidikan yang sewajarnya. Untuk itu, usaha naik taraf sekolah daif serta penubuhan sekolah antarabangsa harus disokong.