RIYADH: Arab Saudi akan membuat keputusan negara yang dibenarkan menghantar jemaah mengerjakan ibadah umrah yang mula dibuka awal November ini.

Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Muhammad Saleh Benten pada Ahad mengumumkan hal itu sebaik sahaja Kementerian Dalam Negeri memberitahu Arab Saudi membuka pintunya untuk jemaah mengerjakan umrah.

Umrah secara bertahap bermula 4 Oktober ini dengan jumlah jemaah yang terbatas sehingga 500 orang sehari.

Saleh berkata jemaah perlu mendaftar di aplikasi Tawakkalna milik Kementerian Kesihatan yang berfungsi memeriksa status kesihatan pengguna dan kelayakan melakukan ibadah umrah.

Memetik Arab News, Saleh berkata jemaah dibahagikan dalam 12 kelompok bagi setiap 24 jam dengan setiap jemaah mengamalkan SOP seperti menjaga jarak.

Usia jemaah ditetapkan 18-65 tahun dengan kerusi roda disediakan bagi yang uzur. Masing-masing jemaah diberi tempoh masa tertentu melakukan ibadah.

Bagi jemaah dari luar Makkah, mereka diwajibkan menempah dan menginap di hotel. Mereka diminta bertemu di satu lokasi, 15 minit sebelum jadual berangkat ke Masjidil Haram.

Anak-anak boleh menemani ibu bapa asalkan nama didaftar ke aplikasi Tawakkalna.