KUALA LUMPUR: Penganugerahan diploma dan ijazah Universiti Teknologi MARA (UiTM) dilangsungkan secara temu janji bertujuan mematuhi SOP 4K iaitu demi keselamatan, kesihatan, kebajikan dan keselesaan semua pihak terlibat.

Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim dalam kenyataan berkata, Pengurusan Tertinggi UiTM prihatin dengan penularan Covid-19 dan merujuk SOP Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Beliau berkata, penganugerahan diploma dan ijazah secara janji temu itu dilaksanakan bermula 7 November ini sehingga 9 Januari 2021 dari 8 pagi hingga 5 petang dan tertakluk kepada sebarang pindaan.

Sesi penganugerahan dilakukan di UiTM Shah Alam dan kampus cawangan yang dipilih berdekatan graduan tinggal, menggantikan Istiadat Konvokesyen UiTM.

Pada penganugerahan diploma dan ijazah itu, graduan berpeluang memakai jubah konvokesyen, merakam gambar kenangan dan menerima skrol serta transkrip sebagaimana istiadat konvokesyen biasa.

Graduan boleh membuat permohonan menerima diploma dan ijazah masing-masing menerusi Sistem Janji Temu Penganugerahan Diploma/Ijazah di https://konvokesyen.uitm.edu.my/v1/.