KUALA LUMPUR: “Kita tekankan penggunaan bahasa Melayu dalam situasi rasmi, dalam ucapan, surat-menyurat dan e-mel rasmi kerajaan. Dalam konteks itu, bahasa Melayu perlu digunakan dengan baik,” kata Ketua Pengarah DBP Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran memetik laporan Astro Awani.

Abang Salehuddin dilaporkan berkata, secara am masyarakat tidak lagi mencapai satu tahap penggunaan bahasa yang baik, bukan sahaja bahasa Melayu tetapi juga bahasa Inggeris.

Menurut beliau, tidak menjadi kesalahan bagi sesuatu kaum bangga dan mengagungkan budaya azali mereka, namun pada masa sama perlu bersikap adil dengan tidak meminggirkan penggunaan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian.

Bercakap kepada media nasional itu, Abang Salahuddin berkata, tiba masanya masyarakat melahirkan keyakinan penuh terhadap bahasa Melayu untuk mendidik anak bangsa, selain mengutamakan peranannya menyatu padu masyarakat berbilang kaum dan etnik di negara ini.