Terdapat beberapa faktor kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengalahkan Warisan Plus. 

Antaranya ialah GRS menggunakan kempen bahawa perlunya pimpinan kerajaan negeri Sabah yang sehaluan dengan pimpinan di Putrajaya.  Apabila Parti Warisan Plus  tidak sehaluan dengan Putrajaya maka sukar untuk bekerja sebagai satu pasukan. 

Kempen inilah digunakan  secara berleluasa di mana-mana sahaja Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkempen. 

Apabila ini digunakan sebagai mantera politik kempen, maka ramai terpengaruh dengan kenyataan seumpama ini kerana rakyat Sabah pembangunan lebih rancak  di kala pengundi Sabah  masih dahagakan pembangunan asas seperti pembekalan air, elektrik, jalan raya, hospital, klinik dan sebagainya.

Pengundi sanggup beri peluang kedua kepada BN kerana percaya mereka  bahaya pimpinan politik dalam kerajaan PN sudah berubah.

Apabila Sarawak menyokong Perikatan Nasional, Sarawak berjaya mendapat hampir RM3 bilion daripada hasil cukai jualan negeri (SST) bagi produk Petroleum  tahun 2019 oleh  kerajaan di Putrajaya.

Sebelum itu, ketika Pakatan Harapan dipimpin oleh Mahathir Mohamad menolak akan tuntutan SST tersebut.

Namun apabila menyertai Perikatan Nasional, Sarawak berjaya memperoleh bayaran  SST tersebut daripada Petronas.

Kesannya, rakyat Sabah sedar bahawa peluang untuk negeri Sabah juga akan cerah untuk mendapat cukai SST sekiranya mereka mengundi PN.

Harapan ini terus membara apabila melihat pelbagai bantuan dan dasar di PN dilihat banyak memberikan keselesaan kepada mereka di Sabah.

Bantuan Covid-19

Dalam konteks ini, kekalahan tipis Warisan bukanlah disebabkan kerajaan Warisan pimpinan Shafei Apdal bukanlah kerana tidak mengeluarkan bantuan melalui peruntukan kerajaan negeri Sabah, akan tetapi sukar untuk kerajaan negeri untuk menandingi bantuan-bantuan besar yang diumumkan oleh kerajaan PN di peringkat nasional seperti moratorium selama enam bulan dan bantuan kepada golongan terjejas dengan Covid-19.

Moratarium membolehkan rakyat menangguhkan pembayaran  selama 6 bulan. Bermakna hutang kereta, rumah, pembiayaan peribadi dengan bank ditangguhkan selama 6 bulan.

Apabila ditangguhkan pembayaran rakyat boleh menggunakan wang tersebut bagi menampung keperluan hidup harian seperti perbelanjaan keluarga dan menabung.

Moratorium ini memberikan kesan  keselesaan kepada pengundi Sabah apabila berlakunya pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah.

Malah pada 23 September, Perdana Menteri menggunakan politik bantuan kewangan untuk menunjukkan bahawa kerajaan di Putrajaya lebih berkemampuan menghulurkan bantuan. 

Pengumuman ini dipercayai mempunyai serampang dua mata kerana selain memberikan impak nasional ia juga mensasarkan PRN Sabah. 

Dalam pengumuman tambahan tersebut, terdapat pemberian tunai tambahan menerusi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 berjumlah RM7 bilion. Bantuan itu membabitkan 10.6 juta penerima merangkumi setiap lapisan masyarakat termasuk di Sabah. 

Dalam BPN 2.0  terdapat golongan isi rumah B40 akan menerima bayaran tunai tambahan RM1,000 manakala B40 bujang RM500. Isi rumah M40 akan diberi RM600 dan M40 bujang menerima bayaran RM300.  

Kesemua tersebut dibayar ansuran dua kali, iaitu pada penghujug Oktober  2020 dan Januari 2021. Bantuan ini memberikan imej bahawa Perdana Menteri dan kerajaan PN sangat prihatin kepada rakyat dan rakyat  berasa lega dalam berdepan dengan kos hidup seharian dan digunakan untuk menampung perbelanjaan  keluarga.  Sebelum ini, kerajaan telah membelanjakan RM11.2 bilion bagi BPN  untuk diagihkan kepada 10.6 juta penerima yang layak. Di sinilah rakyat Sabah turut berasa terhutang budi terhadap bantuan yang diberikan daripada kerajaan. 

Perubahan Kepimpinan

Perubahan kepimpinan di Putrajaya dikuasai oleh PN turut mengubah landskap politik negeri Sabah. Selepas Pakatan Harapan ditumbangkan oleh sekelompok ahli-ahli parlimen yang membentuk Perikatan Nasional, pengaruh kerajaan negeri Sabah semakin berkurangan dan tidak ada tempat pergantungan lebih-lebih lagi kerajaan Warisan Sabah pertama kali memerintah negeri Sabah. Apabila berlakunya perubahan kepimpinan dan kerajaan maka tempias politik turut melanda di Sabah. 

Malah keputusan pilihan raya negeri Sabah yang menunjukkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)  mendapat kemenangan tipis adalah sama dengan situasi yang di Dewan Rakyat apabila Perikatan Nasional meskipun menjadi kerajaan di Putrajaya akan tetapi merupakan kerajaan yang mendapat sokongan yang minima. Inilah pancaran yang berlaku, bahawa kemenangan GRS ialah pancaran terhadap situasi di Putrajaya. 

Reaksi Pengundi Bumiputera

Dasar Kerajaan PN juga dilihat prihatin dan khususnya dalam menangani ekonomi rakyat melalui pengumuman-pengumuman di media arus perdana. Imej Perdana Menteri  berdoa di televisyen hampir setiap hari berjaya tarik pengundi bumiputera Islam.

Bagi pengundi bumiputera bukan Islam pula mereka terpengaruh dengan kempen PBS dan STAR. Malah Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa  dalam ciapan Twitternya, menuduh kononnya parti  Warisan menjadi dalang kepada kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Sabah.

Kempen ini kemudian dikembangkan oleh PBS dan STAR, selain tersebar di media sosial kononnya  Parti Warisan Sabah (Warisan) mengeluarkan kad pengenalan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.

Pengundi Kadazan Dusun bimbang sekiranya ini berlaku maka boleh menjejaskan populasi Kadazan Dusun yang semakin mengecil di negeri Sabah.

Justeru itu, terdapat penambahan kerusi kemenangan  di kawasan pengundi Kadazan Dusun Murut  oleh Gabungan Rakyat Sabah dan menundukkan Warisan Plus di Kedamaian, Kuala Penyu dan Nabawan.

Bagi pengundi Cina di bandaran sokongan mereka terhadap Warisan masih kental dan ini dibuktikan dengan apabila DAP memenangi enam daripada 7 kerusi yang mereka tandingi. Ini bermakna undi Cina masih kekal di bandar dan menyokong Warisan Plus.

Undi Menurun

Terdapat  peratusan keluar mengundi rendah iaitu sekitar 66 peratus sahaja dan ini mempengaruhi keputusan keputusan PRN Sabah.  Ketika pilihan raya umum ke-14 jumlah turun mengundi sangat tinggi sekitar 77.3 peratus dan sudah pasti terdapat anjakan pola undi dan ini tidak berlaku dalam PRN Sabah.

Jumlah keluar mengundi merosot kerana terdapat kebimbangan wabak Covid-19  mengancam keselamatan kesihatan mereka.  Pengundi luar tidak ramai balik untuk mengundi dan kelompok ini kebanyakannya merupakan penyokong Warisan Plus kesemua ini disebabkan oleh faktor batasan kewangan untuk balik dan faktor kebimbangan pandemic Covid. 

Kesemua ini menyebabkan momentum Warisan Plus kurang dinamik.

Dari satu segi parti Warisan menang dalam penggunaan kempen media sosial. Terlalu banyak kempen Shafie Apdal mudah diperoleh melalui media sosial termasuk Facebook dan Youtube dan dilihat banyak ditonton di merata-rata tempat  seperti di  Kota Kinabalu, Sandakan kempen media sosial sangat berkesan.

Namun penembusan ke akar umbi terbatas kerana masalah internet di Sabah belum begitu baik menyebabkan  kempen media sosial tidak berkesan sepenuhnya dilaksanakan di Sabah. 

Begitu juga penggunaan poster  dalam kempen Warisan juga berleluasa. Di mana-mana sahaja ada wajah Shafei Apdal terpampang di billboard dan poster. Ia bersaing dengan poster dan billboard Muhyidin Yassin sebagai Perdana Menteri yang popular dikenali sebagai ‘Abah’ dan ini ternyata pengundi lebih memilih PN untuk pastikan ‘Abah’ dapat membantu  rakyat dan pembangunan di Sabah dengan lebih baik lagi.

Ternyata kemenangan Gabungan Rakyat Sabah dalam pilihan raya negeri Sabah kali ini banyak dipengaruhi oleh dasar prihatin yang ditunjukkan oleh kerajaan di Putrajaya. Sekali gus menunjukkan kemenangan Sarawak dalam PRN akan datang juga akan diperkuatkan oleh faktor Putrajaya dan kejayaan GPS dalam isu menangani cukai SST mampu memberikan keyakinan kepada rakyat Sarawak.

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.