BEIJING: Pemuda nekad mencari pembunuh ayahnya selama 17 tahun sehingga akhirnya berjaya mengesannya.

Xiang Mingqian ketika berusia 9 tahun pada 9 Ogos 2000 bermain dengan anak jirannya Zhang Jun.

Zhang melontar batu ke dalam parit di tepi jalan bandar Changba, di Zhenxiong dan terkena badan Xiang.

Xiang membalas dendam dengan melontar batu yang lebih besar.

Mereka berkelahi. Zhang memanggil neneknya yang mengambil kesempatan menolak Xiang.

Kakak Xiang melihat insiden itu dan keluar rumah membantu adiknya, namun dia dipukul pula oleh ahli keluarga Zhang.

Suami kakak Xiang ke rumah Zhang meminta penjelasan tentang badan isterinya lebam.

Apabila ibu bapa Xiang pulang, ayahnya mengambil lampu suluh dan keluar menuju rumah Zhang pada malam itu.

Xiang masih ingat bapanya masuk ke rumah Zhang dan lampu rumah tersebut terus dipadamkan.

Seketika kemudian dalam gelap kedengaran suara ayahnya menjerit kesakitan ditikam bertubi-tubi oleh anggota keluarga Zhang.

Walaupun dikejarkan ke hospital, ayah Xiang tidak dapat diselamatkan kerana lukanya terlalu dalam.

Laporan polis dibuat, tetapi si pembunuh Zhang Mouqui mengambil kesempatan melarikan diri.

Selepas kematian ayahnya, kehidupan keluarga Xiang terumbang-ambing. Xiang menjual mi membantu ibunya dan akhirnya dia mengambil keputusan berhenti sekolah walaupun dia merupakan pelajar cemerlang.

Xiang tidak tahan melihat ibunya sering menangis, dia mengambil keputusan mencari pembunuh.

Ketika itu Xiang berusia 10 tahun dan mereka sekeluarga berpindah ke ibu negara mencari si pembunuh ayahnya.

Pada 2017, Xiang mendapat maklumat Zhang Mouqui bekerja di kilang pinggir kota Nan’an.

Selepas 17 tahun mencari dan melalui foto yang dibawanya Xiang bertemu semula Zhang Mouqui. Dia menyiasat latar belakang Zhang Mouqui dan mendapati dia sudah menukar namanya kepada Shao Liang, berkahwin dan mempunyai seorang anak.

Selepas mengumpul semua bukti, termasuk baju bapanya yang ditusuk pisau, Xiang membawa bukti itu ke balai polis.

Namun polis memberitahu mereka tidak mempunyai sebarang rekod tentang lelaki bernama Zhang Mouqui.

Xiang diberitahu, polis sudah membuang semua rekod Zhang Mouqui di bandar Changba pada 2015 selepas keluarganya tidak menerima berita tentangnya selama sedekad setengah.