COLOMBIA: Tindakan lelaki yang sanggup terjun dari motosikalnya untuk menyelamatkan bayi dalam kereta sorong tular di media sosial.

Dalam video tersebut, lelaki itu menunggang motosikalnya apabila muncul bayi di dalam kereta sorong di hadapannya.

Kereta sorong yang membawa bayi itu meluncur laju menuruni bukit.

Sebaik sahaja melihat situasi itu, tanpa berlengah lelaki tersebut terus menghentikan motosikalnya di tengah jalan dan berlari mengejar kereta sorong tersebut.

Beberapa saat selepas dia berjaya menahan kereta sorong itu, ibu atau penjaga bayi terbabit kelihatan berlari mendapatkan bayi tersebut.

Bayi itu pula bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan.

Insiden mencemaskan ini dirakam oleh CCTV di sebuah kedai di kejiranan Rincon de la Estrella, Florencia, Colombia.

Tindakan pantas dan sikap perihatin lelaki ini mendapat pujian dari jutaan warga maya di media sosial.