BAU: Usaha bersepadu dan holistik semua pihak penting bagi menangani masalah dadah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep berkata, masyarakat tidak boleh hanya bergantung kepada pihak berkuasa dalam memerangi salah guna dadah yang mampu melumpuhkan sesebuah negara.

“Kesan penyalahgunaan dadah dadah boleh melumpuhkan sesebuah negara jika tidak ditangani secara bersepadu dan holistik dimana ia menjejaskan ekonomi, agama, budaya, bangsa dan negara.

“Peranan ibu-bapa khasnya amat penting untuk memastikan anak-anak dan ahli keluarga bebas dadah kerana pencegahan awal bermula dari rumah,” katanya semasa Majlis Penutupan Bengkel Komuniti Sejahtera One Stop Committee (OSC) Bagi MIDS Daerah Bau di Bau, pada Khamis.

Beliau juga menambah, penagihan dadah kini bukan sahaja dikalangan orang dewasa tetapi telah menular dalam kalangan kanak-kanak yang masih bersekolah.

“Oleh itu, kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan kerajaan, NGO, pemimpin masyarakat, ibu-bapa dan komuniti perlu dimantapkan dan ditambah nilai bagi memastikan masalah penagihan dan pengedaran dadah dapat dihapuskan,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata penubuhan OSC di daerah Bau tepat pada masanya dalam usaha memastikan daerah itu bebas daripada masalah dadah.