KOTA SAMARAHAN: Bagi memperkasakan sektor ekopelancongan di negeri ini, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) tampil dengan program baharu.

Program Pendidikan Pelancongan Biodiversiti, bakal ditawarkan dalam senarai sijil dan diploma UNIMAS.

Kursus pengajian jangka masa pendek itu antara batu loncatan untuk sokong industri ekopelancongan di Sarawak.

Program tersebut telah dibentangkan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia bagi mengenalpasti elemen tertentu yang perlu diberi keutamaan untuk pemerkasaan industri pelancongan domestik terutama ketika negara berdepan cabaran pandemik COVID-19.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata pengenalan program itu sangat tepat seiring hala tuju negara menjadikan industri pelancongan dan kebudayaan pemangkin kepada pemulihan ekonomi negara.

“Oleh yang demikian, penawaran program sijil dan diploma professional dalam pelancongan biodiversiti adalah bersesuaian dan signifikan…di samping itu lokasi pelancongan dan pembangunan aplikasi digital dalam UNIMAS ’edutourism’ adalah sangat menepati dan bersesuaian dengan pelancongan pasca COVID-19 dengan sentuhan fizikal yang minima dan lokasi yang kurang sesak,” katanya semasa lawatan kerja di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), pada Khamis.

Jelas Nancy, platform latihan praktikal dan amali itu wajar untuk tambahnilai pengetahuan kepada ejen-ejen pelancongan, pemandu pelancong, serta komuniti setempat, untuk memperknalkan potensi biodiversiti dan fungsinya kepada pelancong.

“Saya difahamkan bahawa tema identify local strength (titik panas biodiversiti), celebrate on global platform (wallace trail) telah digunapakai dalam merangka struktur kurikulum program eksekutif biodiversiti dalam pelancongan ini….saya yakin program ini akan memberi penekanan dalam kemahiran pengecaman kepelbagaian fauna dan flora borneo berserta dengan fungsinya,” katanya lagi.

Program pelancongan biodiversiti itu akan ditawarkan pada tahap sijil dan diploma profesional masing-masing selama 6 bulan untuk sijil atau 12 bulan untuk diploma.

Penuntut yang terdiri daripada pihak swasta, agensi kerajaan, persendirian, atau penggemar pelancongan biodiversiti akan didedahkan kepada beberapa modul.

Antaranya pengenalan kepada jejak warisan daripada kajian Alfred Russel Wallace, teknik pengecaman biodiversiti dan fotografi hidupan liar.