SPAOH: Pelaksanaan projek Jalan Suri-Tuei di Debak akan melancarkan lagi perancangan untuk mewujudkan Saribas Agropark.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Mohammad Razi Sitam berkata, projek jalan tersebut yang kini sedang dalam pembinaan merupakan langkah pertama merealisasikan transformasi pertanian kawasan itu.

“Dengan adanya projek pembangunan jalan yang menghubungkan penduduk di sekitar kampung Tuie, Serabang, Manggut, Serembang, Bungin dan Debak, selain daripada meningkatkan kuasa beli, jalan ini merupakan salah satu alternatif untuk mewujudkan Saribas Agropark,” katanya semasa merasmikan Agriculture Community Outreach Programme (AgriCOP) di Dewan Kampung Tanjung Assam, Spaoh, pada Khamis.

Dalam pada itu, Mohammad Razi menyeru penduduk agar memberi komitmen yang tinggi untuk mengusahakan bidang pertanian dan penternakan.

Katanya, penganjuran AgriCOP di kawasan itu yang akan diadakan sebanyak empat kali di dalam DUN Saribas memberi banyak pengetahuan yang lebih mendalam kepada penduduk berkaitan bidang pertanian.

“Mungkin sebelum ini ramai diantara kita memang pernah menternak kambing dan lembu tapi disebabkan kurang pengetahuan ada yang tidak berjaya.

“Oleh kerana itu kita memohon pihak Jabatan Pertanian untuk memasukkan modul berkaitan penternakan dalam penganjuran AgriCOP yang akan menjadi panduan kepada penduduk di sini,” tambahnya.