KUCHING: Orang ramai bakal menikmati tawaran diskaun ke atas produk-produk inovasi berasaskan Songket dan Keringkam sempena Jualan September yang bertempat di Galeri Songket dan Keringkam.

Pengurus Besar Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (Centexs), Mohd Shahren Mohd Yusri berkata tawaran ini akan dibuka kepada orang awam pada 24 September dan 26 September 2020.

“Diskaun istimewa sebanyak 60 peratus telah diberikan bagi mempromosikan produk-produk inovasi tersebut untuk menarik lebih ramai pengunjung ke galeri ini.

“Namun, songket seperti samping dan keringkam asli tetap dijual pada harga yang sebenar untuk memelihara prestij produk tersebut dan mengekalkannya di kelas premium,”ujarnya.

Tambah beliau, dengan kerjasama Centexs komersial sebagai badan pemasaran dan jualan, pengwujudan galeri ini akan menjadi platform pemasaran dan jualan bagi komuniti songket dan keringkam di Sarawak.

“Galeri ini turut mengetengahkan pengunaan teknologi digital dimana pengunjung boleh mendapat maklumat lanjut mengenai proses tenunan, sulaman, dan juga menggunakan aplikasi Sarawak PAY untuk membuat bayaran.

“Dengan adanya platform digital khas SARAtage, pihak galeri telah bekerjasama dengan pelbagai pihak seperti SaraPride, Centexs Heritage Fashion (CHF), Komuniti Songket dan Komuniti Keringkam di seluruh Sarawak,”katanya.

Jelas Shahren, objektif utama Projek Inovasi Warisan Songket dan Keringkam Sarawak yang diterajui oleh OKSHE ialah untuk membangunkan ekosistem yang bersepadu, lestari dan pada masa yang sama mengekalkan warisan yang bernilai ini.

“Inisiatif yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri melalui Centexs Komersial, Okshe dan agensi-agensi lain akan terus membantu komuniti di Sarawak.

“Produk-produk yang ada pada hari ini adalah titik peluh usahawan tempatan yang ada di antara mereka sebelum ini tidak mempunyai ilmu dan ruang yang sesuai untuk memasarkan produk mereka,”katanya.

Tambah beliau, dia turut bersyukur Kerajaan Negeri dengan sokongan padu Ketua Menteri Sarawak kerana telah menghantar pencalonan untuk mendapat pengiktirafan UNESCO bagi Songket Sarawak pada tahun lepas.

“Saya kagum dengan usaha Sabati yang membantu masyarakat sejak tahun 1982, dan berharap Centexs Komersial mampu memberi impak yang sama kepada ekonomi komuniti di Sarawak,”katanya.

Hadir sama Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datu Sabariah Putih.

Datuk Amar Hajjah Jumaani(tengah) bergambar bersama Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali Sabati (kanan) dan Sabati.