SRI AMAN: Pihak kontraktor memainkan peranan penting dalam memastikan pelaksanaan projek transformasi luar bandar (RTP) berjalan lancar.

Penasihat di Pejabat Ketua Menteri Sarawak merangkap Ahli Parlimen Batang Lupar Dato Sri Rohani Abdul Karim berkata, indeks prestasi utama (KPI) perlu dilihat dan disemak bagi memastikan mereka mengikut prestasi operasi standard (SOP) projek yang ditetapkan.

Jelas beliau, pemilihan projek RTP juga adalah berdasarkan keperluan di sesebuah kawasan.

“Jadi, saya menyarankan agar kontraktor yang terpilih dapat melaksanakan projek dengan cepat dan mengikut spesifikasi yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa proses cabutan undi projek RTP dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perolehan, RTP Bahagian Sri Aman 2020 hari ini.

Turut hadir, Residen Bahagian Sri Aman, Indit Bangai.

Sementara itu, beliau memberitahu, wakil rakyat sering terkesan dengan isu berkaitan projek yang bermasalah.

Justeru ujarnya, pihak kontraktor mesti memastikan setiap projek dilaksanakan berjalan lancar.

Cabutan undi tersebut melibatkan 36 projek RTP yang berjumlah RM5,570,000 merangkumi kawasan Parlimen Batang Lupar, Lingga, Bukit Begunan dan Simanggang.