SERIAN: Para petani dan penternak di kawasan Bukit Semuja diseru untuk mengaplikasikan teknologi dalam meningkatkan pendapatan mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus berkata, kerajaan negeri telah memperkenalkan Program Tabung Fasilitasi Pertanian (AFF) bagi menyediakan bantuan kepada mereka.

Jelasnya, pelbagai bantuan dan kemudahan berasaskan pertanian disediakan bagi memastikan petani dan penternak dapat meningkatkan pengeluaran dan kualiti.

“Ia juga untuk menarik minat para belia untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian secara meluas dan serius.

“Misalnya di DUN Bukit Semuja, kawasan Slabi, Koran dan Sorak merupakan yang boleh diterokai untuk aktiviti-aktiviti pertanian secara besar-besaran,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Agriculture Community Outreach Program (AgriCOP) serta menyerahkan cek Bantuan Input Peralatan Nelayan (BIPPN) di Balai Raya Kampung Koran Empaneg, Serian, semalam.

Turut hadir Residen Bahagian Serian, Tuah Suni dan Pegawai Daerah Serian, Lim Hock Meng.