KUCHING: Penyertaan dan penglibatan golongan belia dalam kursus pensijilan seperti Kursus Pendawaian CCTV dapat melahirkan lebih ramai usahawan dan tenaga kerja berkemahiran.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata pasaran kerja hari ini telah membuktikan kemahiran menjadi asas utama dalam mendapatkan pekerjaan dan memperluaskan pasaran.

“Menerusi penyertaan Kursus Pendawaian CCTV dengan kerjasama Kolej Komuniti Santubong, belia bukan sahaja diberikan pendedahan berkaitan kemahiran, tetapi juga mendapat pengetahuan dalam pemasangan CCTV yang ketika ini merupakan suatu keperluan di setiap rumah.

“Jika belia betul-betul berminat dan mahu mendalami ilmu kemahiran itu secara terperinci, nescaya ianya boleh menjadikannya sebagai kerjaya di masa depan sekaligus melahirkan ramai usahawan dalam bidang kemahiran.

“Malah, permintaan ke atas pemasangan pendawaian CCTV ini kian popular di kalangan masyarakat yang menjadikan aspek keselamatan rumah dan bangunan sebagai suatu keperluan daripada dicerobohi penjenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penganjuran Kursus Pendawaian CCTV Kampung Tabuan Drahman 1 di Kolej Komuniti Santubong pada Sabtu.

Ini merupakan program mingguan yang diadakan di DUN Demak Laut untuk penduduk kampung khususnya belia yang berminat dan dilaksanakan mengikut giliran kampung.

Sementara itu, bagi Azmi bin Ali yang merupakan Ketua Pemuda Ranting PBB Tabuan Drahman 1 menyifatkan penganjuran kursus pendawaian CCTV ini mudah difahami dan permintaannya sangat tinggi.

“Penyertaan terhadap Kursus Pendawaian CCTV ini adalah terbuka kepada belia-belia di Kampung Tabuan Drahman 1 sama ada lelaki dan perempuan.
“Mereka yang mengikut kursus ini juga merupakan mereka yang tidak mempunyai apa-apa pengalaman dan kemahiran dalam pendawaian CCTV.

“Melihat kepada keperluan masa kini, Kursus Pendawaian CCTV ini dilihat suatu potensi besar untuk dikembangkan sebagai kerjaya atau perniagaan bagi meraih pendapatan tambahan,” katanya.

Seramai 20 orang belia dari Kampung Tabuan Drahman 1 telah menyertai kursus ini yang diadakan selama dua hari, Sabtu dan Ahad yang merupakan anjuran Pusat Khidmat DUN Demak Laut dan Pemuda PBB Ranting Tabuan Drahman 1 dengan kerjasama Kolej Komuniti Santubong.