SERIAN: Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengekalkan pendirian menyokong kerajaan pusat yang sedia ada di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bercakap dalam sidang media pada Rabu, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, perkara tersebut telah dinyatakan dalam amanat beliau pada Sambutan Hari Malaysia di Sibu sebelum ini bahawa GPS sentiasa di belakang Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa mendapat sokongan kukuh dan meyakinkan daripada Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan persekutuan yang baharu.

Datuk Patinggi Abang Johari turut menafikan situasi politik yang berlaku itu adalah disebabkan ketidakpuasan hati sesetengah pihak dengan bayaran Cukai Jualan Negeri (SST) kerajaan persekutuan menerusi PETRONAS kepada Sarawak.