PUTRAJAYA: PAS mencabar Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikannya kenyataannya yang beliau menerima sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu dengan menyenaraikan nama Ahli Parlimen terbabit.

Timbalan Presiden Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kesemua 18 Ahli Parlimen PAS tidak memihak Ketua Pembangkang itu.

“Kami daripada PAS mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan tidak timbul soal untuk menyeberang atau menyatakan sokongan kepada kepada yang lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Ozon Sedunia 2020 dan prapelancaran Hari Alam Sekitar Negara 2020, di sini pada Rabu seperti dipetik Bernama.

Ditanya sama ada perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat kabinet pagi tadi, beliau berkata perkara tersebut ada dibincangkan namun hanya sepintas lalu kerana bukan isu besar.

Mengenai kenyataan Presiden Umno yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa Umno dan BN tidak dapat menghalang ahli parlimennya daripada menyokong Anwar, Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata setiap parti yang menyokong PN perlu mengawal wakil rakyat masing-masing.

“Parti perlu bertanggungjawab memastikan Ahli-ahli Parlimen kita mendukung PN dan saya fikir bagi pihak PAS kita komited dengan Kerajaan PN,” katanya.

Sementara itu di KOTA BHARU, Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata dakwaan Ketua Pembangkang tersebut tidak boleh diterima dengan mudah kerana sesiapa sahaja boleh membuat kenyataan sedemikian.

Tegasnya jika benar Anwar mempunyai majoriti, maka beliau perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi tujuan sama ada pembubaran Parlimen atau Perdana Menteri meletak jawatan.

“Kerajaan tidak akan tumbang kalau buat kenyataan media sahaja,” katanya.