MIRI: Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin mengumumkan satu ‘Task Force’ telah dibentuk yang bertujuan untuk memastikan semua peninggalan 624 telaga minyak di Miri adalah selamat.

“Task Force’ (Jawatankuasa Bertindak) yang ditubuhkan ini diletakkan di bawah tanggungjawab Residen Miri.

“Ianya turut membabitkan semua agensi yang bertanggungjawab yang akan memantau dan membuat laporan serta mengemukakan cadangan bagi menentukan semua telaga minyak adalah selamat.

“Tindakan yang perlu diambil bagi telaga minyak yang bocor atau ada masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di Pejabat Residen Bahagian Miri pada Selasa.

Tambah Datuk Lee lagi, pasukan ‘Task Force’ ini akan turun padang bersama dengan agensi yang berkaitan pada Jumaat ini bagi meninjau sendiri kawasan tersebut.

Sementara itu, Petronas mendakwa setiap telaga minyak itu mempunyai kedalaman 1,000 meter dan berkeluasan 100 kaki persegi.

Bagaimanapun, kawasan tersebut telah pun dipasang pagar dan dikunci oleh pihak Sarawak Shell Berhad dan kunci tersebut telah diserahkan kepada Residen Miri selaku ‘gate keeper’.

Tambah Datuk Lee lagi, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mendekati kawasan tersebut bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Orang ramai dinasihati untuk tidak mendekati kawasan tersebut.

“Sekiranya menemui insiden yang sama, orang ramai diminta untuk melaporkan terus kepada Pejabat Residen Bahagian Miri,” tambahnya.

Bukit Kanada Miri merupakan salah satu daripada pusat operasi penggalian minyak yang terdapat di kawasan Miri suatu ketika dahulu meliputi kawasan dari Lutong ke Pujut sehinggalah ke pusat bandaraya dan mempunyai ratusan telaga minyak dan ada beberapa telaga yang telah dijumpai orang ramai seperti tular baru-baru ini.

Pengeluaran minyak yang pertama kalinya di rantau ini adalah pada Disember 1910 dari Telaga Miri No. 1 (Miri Well No. 1) yang terletak di Bukit Kanada Miri dan terkenal dengan gelaran nama ‘Grand Old Lady’.

Walau bagaimanapun, ‘Grand Old Lady’ telah ditamatkan operasinya pada 31 Oktober 1972.

Hadir sama Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, wakil Petronas Carigali Sdn Bhd, Sarawak Shell Berhad, PETROS, Pejabat Topografi Wilayah Miri (JUPEM), Jabatan Muzium Sarawak, Jabatan Alam Sekitar Miri (DOE), Jabatan Mineral dan GeoSains Malaysia Sarawak (JMG), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Miri, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Tanah dan Survey (JTS), Majlis Bandaraya Miri (MBM), PCSB dan Sarawak Tourism Berhad (STB).