KUALA LUMPUR: Dakwaan Presiden PKr Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen sebagai strategi untuk meraih sokongan rakyat Sabah dalam PRN pada Sabtu ini.

Demikian tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkaitan hal tersebut.

Katanya, strategi PH-Warisan untuk alih isu kemarahan rakyat Sabah terhadap beberapa kenyataan dangkal kepimpinan utama Warisan khasnya Datuk Mohammadin Ketapi dalam isu pencerobohan Lahad Datu dan Covid-19, gagal.

“Usaha terakhir dan terdesak Anwar untuk memancing rakyat Sabah beri undi kepada calon-calon Warisan, Dap, PKR dan PAN bagi meyakinkan mereka kononnya kerajaan pusat bakal berubah,” katanya dalam sdatu kenyataan.

“Apa yang penting berbaki dua hari sahaja lagi, seluruh jentera BN jangan sesekali hilang fokus untuk terus kerja kuat menangi hati rakyat dan pengundi seluruh Sabah menjelang hari mengundi 26 September ini!”

Anwar dalam sidang media semalam menyatakan beliau mempunyai majoriti sokongan hampir dua pertiga Ahli Parlimen, untuk membentuk kerajaan baharu.

Anwar berkata, beliau telah mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa, tetapi ditangguhkan, berikutan Seri Paduka mendapat rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Pada PRN Sabah kali ini, PKR yang merupakan gabungan Warisan Plus, bertanding tujuh kerusi manakala Warisan 46 kerusi dan UPKO (12 kerusi), manakala DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang menggunakan logo Warisan masing-masing bertanding tujuh dan satu kerusi.

Warisan Plus bertanding di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah.