SERIAN: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini melakukan lawatan sehari ke Serian.

Pada sebelah pagi, beliau melakukan penghormatan terakhir terhadap mendiang bekas ADUN Kedup, Datuk Frederick Bayoi Manggie.

Sejurus selepas itu, Ketua Menteri menyempurnakan Majlis Perasmian Hotel Roxy Serian.

Seterusnya, beliau hadir mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa di bandar Serian, melibatkan agensi-agensi dan jabatan kerajaan untuk mengambil maklum status pelaksanaan projek-projek yang telah diumumkan dan diluluskan oleh kerajaan negeri.

Berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan SJK Chung Hua Serian, Ketua Menteri berkata, bahagian Serian mempunyai masa depan yang cerah dan akan membangun dengan begitu cepat dengan pelaksanaan pelbagai kemudahan yang terkini.

Melihat Serian mempunyai potensi yang besar terutamanya kawasan pertanian yang boleh dimajukan dan industri lain seperti pelancongan, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg turut menyeru agar penduduk terus bersatu dan memainkan peranan dalam membangunkan Sarawak dan Serian.

“Dengan adanya perancangan seperti ini, yang kita kehendaki ialah supaya bandar Serian ini aman damai di bawah satu naungan. Orang bidayuh yang kebanyakkan di bahagaian serian ini akan terus bersatu dan seterusnya memainkan peranan di dalam kita hendak membangunkan negeri sarawak lebih lebih lagi di bahagian serian ini”katanya.

Selepas majlis pemimpin bersama rakyat itu, Ketua Menteri melawat ke Komplek Pejabat Kerajaan Negeri, Serian Convention Centre, Slabi Water Treatment Plant dan Second Flyover Serian.