MIRI: Satu Projek Naik Taraf Tapak Sepak Takraw di bawah Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2018 yang telah diluluskan tetapi tidak dapat dilaksanakan disebabkan tapak tersebut merupakan Reserved Land kepada Syarikat Energy Berhad (SEB).

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, perkara ini telah dapat diselesaikan selepas mengadakan perbincangan dengan SEB dan dibenarkan menggunakan tapak itu bagi tempoh 10 tahun.

Bagaimanapun, tapak ini akan dinaik taraf bagi Projek Pembinaan Padang Futsal yang berjumlah RM53,000.

“Kontrak bagi pembinaan Padang Futsal ini akan dimulakan pada 28 September 2020 dan dijangka siap pada 27 November 2020.

“Kerja-kerja pembinaan boleh dilakukan bermula minggu depan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke Kampung Piasau Miri pada Rabu.

Jelas Datuk Sebastian lagi, sekarang ini ramai yang bermain futsal berbanding sepak takraw seperti yang diminta penduduk kampung.

Hadir sama Datuk Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang, Ketua Kaum Kampung Piasau Utara Hipni Sulong dan Ahli Majlis Bandaraya Miri Kaunselor Leslie Lau.