KUCHING: Seramai 198 golongan asnaf dari Kampung Tabuan Hilir menerima sumbangan kebajikan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni.

Mereka yang menerima sumbangan kebajikan terdiri daripada warga emas, ibu tunggal, anak yatim dan orang kelainan upaya (OKU).

Menurut Dr Hazland, program kebajikan golongan asnaf ini merupakan program yang diadakan secara berterusan di DUN Demak Laut.

“Ini merupakan program berterusan bagi membantu meringankan beban golongan asnaf di DUN Demak Laut.

“Selain membantu, program ini juga mendekatkan pemimpin dengan masyarakat khususnya penerima sumbangan serta bertanya khabar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kebajikan di Kampung Tabuan Hilir pada Selasa.

Dalam pada itu, Dr Hazland turut mendoakan semoga semua mereka ini diberikan kesihatan yang baik, dipanjangkan usia dan dipermudahkan segala urusan serta sentiasa di bawah perlindungan Allah S.W.T.