SIMANGGANG: Seramai 19 orang yang merupakan anak-anak tempatan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga menerima sumbangan insentif melanjutkan pengajian di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Simoi Peri berkata, pemberian insentif ini membabitkan peruntukkan berjumlah RM17,500 diberikan secara ‘one off’ yang bertujuan memberikan motivasi kepada mereka untuk terus belajar dan mencapai cita-cita di IPT.

“Pertama sekali diucapkan tahniah dan syabas kepada anak-anak DUN Lingga yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat IPT.

“Sumbangan insentif ini diharap memberikan motivasi kepada anak-anak untuk belajar lebih tinggi lagi dan mengurangkan bebanan kos yang ditanggung ibu bapa dan keluarga.

“Hanya dengan pendidikan sahaja membolehkan kita mengubah kehidupan keluarga dan mencapai cita-cita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Sumbangan Insentif Kepada Anak-Anak DUN Lingga Melanjutkan Pengajian Ke Peringkat Universiti di Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Lingga pada Selasa.

Mengulas lanjut, Simoi menambah insentif ini merupakan rutin tahunan bagi membantu meningkatkan pendidikan di kawasan DUN Lingga.

“Sejak menjadi wakil rakyat di DUN Lingga, bidang pendidikan merupakan satu daripada beberapa bidang yang menjadi perhatian dan tumpuan dalam membangunkan kawasan DUN Lingga.

“Pembangunan perlu seimbang, sama ada melibatkan infrastruktur dan pendidikan supaya ianya selari dengan matlamat Kerajaan Sarawak untuk mencapai negeri maju menjelang tahun 2030.

“Juga, menjadikan bidang pendidikan ini suatu keperluan yang penting dalam era digital ini,” tambahnya.

Antara mereka yang menerima sumbangan insentif pendidikan ialah Nurul Ezzah binti Sulaiman Fakulti Perladangan dan Agroteknologi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Muhamad Khaider bin Ellie Fakulti Sains Komputer dan Matematik UiTM, Salandy ak Anis Fakulti Kemanusiaan Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Jaz Ainol bin Aznan Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Siti Aishah binti Ahmad Zaidi dan Siti Farhiyatul binti Wasli Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, UNIMAS dan Maizatul Izzati Farhan binti Mohsen Fakulti Sains dan Teknologi Sumber, UNIMAS.

Juga, Dang Ayunni Norsyahida binti Roselan, Muhammad Nur Airil Alimin bin Jaafar dan Tajudin bin Bolkeri Fakulti Gunaan dan Kreatif, UNIMAS, Chrie Dickson ak Thomas Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Siti Zaiquratul’aini binti Zafferi Fakulti Seni Bina Perancangan dan Ukur, UiTM, Siti Nuraisha binti Lokman Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UNIMAS, Siti Farah Diyana binti Jamaliee Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, UNIMAS, Muhammad Hafiz bin Zawawie Fakulti Sains Kesihatan, Univerisiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Yasmin Erdina Afza binti Safuani Diploma Sains Fizikal, UiTM, Nur Fitri Akira binti Johari Diploma Pengurusan Halal Akademi Pengajian Islam Kotemporari, UiTM dan Nur Atikah Sahrifah binti Faizal Ashikin Diploma Seni Lukis dan Seni Reka/ Grafik dan Media DIgital.