BAU: Sebanyak 13 kontraktor tempatan dari daerah Bau menerima surat setuju terima projek di bawah peruntukan Projek Transformasi Luarbandar (RTP) hari ini.

Berucap dalam majlis penyerahan surat setuju terima kepada kontraktor Majlis Daerah Bau, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep berharap agar kontraktor yang terpilih mempunyai peralatan dan sumber tenaga mencukupi dalam menyiapkan projek yang akan dijalankan.

Dalam kesempatan itu, beliau turut menyarankan para kontraktor untuk memberi maklum kepada ketua kaum sesebuah kampung terlebih dahulu sebelum memulakan projek di kampung terlibat.

Projek RTP yang akan dilaksanakan adalah naik taraf gelanggang takraw SK Segong , naik taraf Dewan Serbaguna Kampung Tabong, naik taraf Dewan Serbaguna Kampung Skibang, naik taraf Dewan Serbaguna Kampung Sri-ieng, naik taraf padang bola sepak St. James Bitikie Kampung Tanjong Poting, naik taraf jalan-jalan Kampung Apar, naik taraf jalan pertanian Obang ke Mikoie, Kampung Tabong/Apar, naik taraf Jalan Patag Kampung Serikin, naik taraf padang bola sepak dan Futsal Kampung Suba Buan, naik taraf tempat letak kenderaan Gereja St. Mary, Kampung Suba Bau, naik taraf jalan-jalan Kampung di Kampung Daun, membina jambatan di jalan Jambusan Lama dan membina jambatan di Sungai Sebobok, Kampung Sebobok.