Semua parti yang bekerjasama dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) iaitu Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Islam Semalaysia (Pas), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (STAR) hari ini kekal berdiri teguh menyokong kerajaan pimpinan YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Justeru, gabungan parti yang membentuk Kerajaan PN ini menyangkal dakwaan Presiden PKR, Dato Seri Anwar Ibrahim yang kononnya beliau mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan.

Kenyataan beliau itu tidak lebih hanya merupakan satu lagi ulangan publisiti murahan seperti yang pernah berkali-kali dilakukan sebelum ini.

Tindakan terbaharu beliau ini juga menyerlahkan sikap rakus dan gila kuasa beliau yang ternyata sama sekali tidak mempedulikan soal kestabilan politik dan ekonomi negara serta nasib rakyat yang terjejas teruk akibat COVID-19.

Kita yakin rakyat akan bangkit menolak politik sebegini malah akan bersama-sama menyokong Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan YAB Tan Sri Muhyiddin yang sentiasa prihatin akan kebajikan rakyat.

TAN SRI ANNUAR MUSA SETIAUSAHA AGUNG BN

DATUK SERI HAMZAH ZAINUDDIN SETIAUSAHA AGUNG BERSATU DATO TAKIYUDDIN HASSAN SETIAUSAHA AGUNG PAS DATUK ALEXANDER NANTA LINGGI SETIAUSAHA AGUNG GPS DATUK JAHID JAHIM SETIAUSAHA AGUNG PBS GUAN DEE BIN KOHOI SETIAUSAHA AGUNG STAR

23 September 2020

KENYATAAN MEDIA
PARTI-PARTI YANG BEKERJASAMA DALAM KERAJAAN
PERIKATAN NASIONAL (PN) TEGUH MENYOKONG KEPIMPINAN
YAB TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN
23 SEPTEMBER 2020