SERIAN: Penubuhan Sekolah Menengah Antarabangsa memberi manfaat, khasnya pelajar di pedalaman untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, melalui sekolah berkenaan, pendidikan di Sarawak setanding dengan peringkat antarabangsa sekali gus membantu meningkatkan taraf ekonomi untuk membangunkan Sarawak.

“Ini kerana, pelajar akan diberi peluang untuk belajar jurusan mengikut kesesuaian peredaran zaman pada masa ini yang berteraskan kepada teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Tapak Pembinaan Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak, di sini semalam.

Hadir sama, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Datuk Seri Michael Manyin Jawong, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dr Annuar Rapa’ee dan ahli kenamaan yang lain.

Abang Johari berkata, sekolah itu dijangka siap pada hujung tahun 2022 membabitkan kos bernilai RM60 juta.

“Ia akan beroperasi sepenuhnya pada 2023 dengan menggunakan silibus sijil am pendidikan menengah antarabangsa (IGCSE), Cambridge,” katanya.

Selain Serian, sekolah antarabangsa itu juga akan dibina di kawasan Kuching, Sibu dan Miri.

Berhubung yuran pembelajaran di sekolah itu, Abang Johari berkata ia akan ditanggung oleh Kerajaan Sarawak.

“Yuran akan ditanggung oleh Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) disebabkan kos operasi ini mahal,” katanya sambil menambah, ia memberi manfaat kepada pelajar dari luar bandar yang merupakan golongan berpendapatan rendah (B40).

Pelajar cemerlang dari sekolah itu akan ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi di universiti yang terkemuka di dunia.

22/9 Yuran Sekolah Menengah Antarabangsa dibiayai Kerajaan GPSSERIAN: Penubuhan Sekolah Menengah Antarabangsa memberi…

Posted by Jiwa Bakti on Tuesday, September 22, 2020