KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg hari ini telah menghadiri Majlis Pelancaran Projek Sarawak International School (SIS) di Batu 12, Jalan Kuching Serian.

Berucap dalam majlis itu, beliau berkata, pembangunan sekolah antarabangsa yang dibangunkan kerajaan negeri menerusi Yayasan Sarawak itu akan melonjakkan taraf pendidikan ke peringkat antarabangsa.

“Kita memulakan pembangunan sekolah antarabangsa atau Yayasan Sarawak yang pertama di Sarawak ini dibawah kelolaan kerajaan kita dan sudah tentu daripada sudut pembangunan ini, ia akan memberi manfaat kepada generasi muda untuk mendapat ilmu setinggi-tingginya bagi mereka membangunkan negeri kita secara khasnya dan negara amnya serta juga menaikkan taraf pendidikan kita ke peringkat antarabangsa.” katanya semasa berucap.

Datuk Patinggi Abang ZoharI turut berkata, sekolah antarabangsa tersebut yang bakal beroperasi menjelang tahun 2023 itu adalah bagi melatih anak-anak Sarawak dalam jurusan yang sesuai dengan keperluan masa hadapan sama seperti negara-negara membangun.

“Ini sebabnya kita menubuhkan sekolah antarabangsa supaya anak kita yang pandai dapat diletakkan disana dan mereka boleh bersaing dan yurannya, kerajaan GPS akan tanggung. Hal ini kerana, pengoperasiannya yang mahal. Ini sebabnya kita melahirkan anak kita yang berpotensi untuk menyerlah supaya mereka mendapat kecemerlangan dalam pendidikan.”