NEGERI SEMBILAN: Program Karnival Bumi Kenyalang menjadi medium bagi para usahawan kecil dan sederhana (PKS) melonjakkan pendapatan terutama dalam tempoh pasca pandemik COVID-19.

Menteri Muda Pembangunan Usahawan Dan Perusahaan Kecil Dan Sederhana Sarawak, Datuk Mohd Naroden Majais berkata, program itu diadakan selama 16 hari di Aeon Mall, Nilai, Negeri Sembilan.

Malah jelasnya, dalam tempoh tiga hari pertama karnival tersebut diadakan, 29 peserta dari Sarawak telah menjana hasil sebanyak RM160,000.

“Teknologi dan internet telah mengubah cara kita bekerja, pandemik COVID-19 sejak 18 Mac lalu telah mengajar kita rakyat Malaysia termasuk kita di Sarawak betapa pentingnya platfom digital dengan penggunaan teknologi yang ada di tangan kita sebagai cara baharu berniaga.

“Para usahawan harus memahami cara baharu dan menghayati cara baharu itu dalam berniaga.

Ianya pasti akan memberi tahap gelanggang permaianan yg sama rata” katanya dalam Majlis Perasmian Program Karnival Bumi Kenyalang Bersempena Kempen Beli Barangan Malaysia di AEON Mall, Nilai hari ini.

Tambah Naroden, para usahawan harus mengadaptasikan e-dagang sebagai gelanggang perniagaan baharu lebih-lebih lagi dalam menghadapi pasca pandemik COVID-19.

“Kita amat beruntung kerana kerajaan Sarawak pada 2017 telah melancarkan digital ekonomi supaya menggalakkan rakyat Sarawak menggunakan teknologi dan internet sebagai salah satu landasan untuk mempercepatkan lagi momentum pembangunan ekonomi negeri,” jelasnya.

Datuk Naroden menambah, karnival yang julung kalinya di Negeri Sembilan mampu mengetengahkan produk Sarawak ke pasaran lebih besar di Semenanjung.

Ketika ini, kerajaan Sarawak telah menyewa dua rumah kedai untuk mempamer, mempromosi dan memasarkan barangan Sarawak yg terpilih iaitu di Centre Point Singapura Sarawak Tourism And Trade Office Singapore (STATOS) dan sebuah lagi Sarawak Produk Pavillion (SPP) di Jalan Tunku Abdul Rahman Kuala Lumpur.