KOTA KINABALU:  Saingan padat dan luar dugaan dengan purata enam calon bagi satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah pasti membuat rakyat berfikir panjang untuk menentukan pilihan masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sabtu ini.

Penganalisis politik Sabah Dr Romzi Ationg dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata pilihan pengundi mungkin sedikit terjejas susulan kepadatan medan saingan apabila 447 calon bertanding di 73 kerusi DUN.

“Kemunculan muka baharu (pemimpin muda), kepulangan parti lama dan peningkatan jumlah calon serta parti politik akan memberi kesukaran kepada pengundi. Tidak dapat dinafikan, mereka akan bingung untuk membuat pilihan,” katanya pada temu bual dengan Bernama hari ini.

Menurut beliau, pandangannya berdasarkan pemerhatian, tinjauan, temu bual dan soal selidik dengan pengundi di lebih 40 kawasan pilihan raya menurut Bernama.

“Pilihan raya ini membuat pengundi membuat keputusan dengan hati-hati sebelum mengundi kerana setiap undi akan menentukan kemenangan calon dan parti politik,” katanya sambil menambah kekuatan parti dan kredibiliti calon akan menjadi penentu.

Romzi turut menyentuh soal pecahan undi susulan kehadiran jumlah calon yang ramai serta pertembungan calon dalam kalangan parti sekutu.

“Kita boleh menganggap pilihan raya ini dilanda pecahan undi.

“Apabila wujud lebih dua calon (daripada parti sekutu), maka calon ini akan memecah undi penyokong umum mereka dan mungkin menyerahkan kemenangan kepada calon bukan pilihan.

“Ini pernah berlaku pada pilihan raya sebelum ini di negara ini dan juga di negara lain,”  katanya.

Beliau berkata bahawa biasanya kebimbangan isu pecah undi sudah cukup untuk memaksa pengundi mengambil langkah pencegahan dengan berbincang bersama rakan dan ahli keluarga sebelum membuat keputusan.

Romzi juga tidak menolak kemungkinan wakil rakyat yang gagal melaksanakan tanggungjawab mungkin tidak dapat mempertahankan kerusi mereka kali ini, sekali gus memberi peluang kepada muka baharu yang memiliki kelayakan akademik, pengalaman dan populariti untuk dipilih.

Mengenai wabak COVID-19, beliau berkata di sebalik situasi tersebut, pengundi perlu memainkan peranan masing-masing dengan memilih calon yang terbaik demi kepentingan rakyat Sabah dan kestabilan kerajaan negeri.

Katanya, adalah penting untuk pengundi mengetepikan emosi dan menyokong calon berintegriti.

Dua gabungan parti politik utama – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan Plus serta 56 calon Bebas akan meraih sokongan 1.12 juta pengundi bagi menentukan peneraju kerajaan negeri  yang baharu selepas pilihan raya negeri edisi ke-16 ini.