MIRI: Penduduk di sembilan kampung di Daerah Telang Usan kini boleh menikmati bekalan elektrik secara konsisten menerusi Skim Elektrifikasi Luar Bandar Alternatif Sarawak (SARES).

Projek SARES berkonsepkan komuniti itu melibatkan Kampung Lio Mato, Ba’Muboi, Long Ajeng, Long Tungan, Long Selaan, Long Moh, Long Jeeh, Long Jekitan dan Long Tikan yang keseluruhannya mempunyai 630 pintu.

Menteri Utiliti Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan dana yang besar untuk membekalkan bekalan elektrik 24 jam kepada semua penduduk khususnya melibatkan kawasan luar bandar.

Jelas beliau, ia membuktikan kerajaan Sarawak prihatin dengan keperluan masyarakat luar bandar yang amat memerlukan kemudahan bekalan elektrik.

“Antara lain, kerajaan negeri juga sentiasa berusaha menyediakan keperluan asas seperti bekalan elektrik, air dan jalan raya terutamanya kepada penduduk di luar bandar.

“Suara kita akan lebih didengar sekiranya bersatu padu, justeru elakkan dari mendengar hasutan daripada orang yang tidak bertanggungjawab seperti di media sosial dan sebagainya yang sengaja memecah-belahkan kita,” katanya semasa menyempurnakan Majlis Penyerahan Hakmilik SARES Fasa 3 dan 4 bagi Daerah Telang Usan di Kampung Lio Mato pada Isnin.

Hadir sama, isteri beliau, Datin Sri Loretta Rundi, Menteri Muda Utiliti (Bekalan Elektrik) Datuk Liwan Lagang serta isteri Datin Rosnie Bilang, Timbalan Speaker DUN Sarawak merangkap ADUN Mulu, Dato Gerawat Gala serta isteri Datin Esther Mujan Balan, Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau, Timbalan Presiden Bekalan Elektrik Luar Bandar, Sarawak Energy Berhad (SEB), Dr Chen Shiun dan Pegawai Daerah Telang Usan, Baru Tai.

Sementara itu, Dato Gerawat Gala merakamkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang prihatin dalam merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar seperti pelaksanaan projek SARES melalui Kementerian Utiliti dan agensi pelaksananya, SEB.

Ujarnya, terdapat 11 kampung lagi di kawasannya yang akan dibekalkan elektrik melalui SARES yang dilaksanakan tahun 2021.