TELANG USAN: Pembangunan di kawasan luar bandar akan terus dibangunkan secara menyeluruh dan berterusan di Sarawak termasuklah di kawasan Telang Usan ini bagi memenuhi keperluan penduduk.

Menteri Utiliti Sarawak Dato’ Sri Dr Stephen Rundi anak Utom berkata, Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg telah meneruskan dasar dan polisi bekas Ketua Menteri Pehin Sri Adenan Satem dalam membangunkan kawasan luar bandar dan pedalaman di negeri ini.

“Semasa Pehin Sri Adenan Satem menjadi Ketua Menteri, beliau telah memutuskan supaya pembangunan di luar bandar harus difokuskan dengan lebih berat.

“Pembangunan kawasan luar bandar ini dipanggil ‘Rural Development Bias Programme’.

“Dengan adanya program ini membolehkan Kerajaan Sarawak menyediakan dana dan peruntukkan mengikut okasi bagi membawa lebih banyak projek pembangunan di kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Hak Milik Projek SARES Fasa 3 dan 4 Daerah Telang Usan di Dewan Masyarakat Liomato Kedaya Telang Usan pada Isnin.

Mengenai Projek SARES, ketika ini hampir semua rumah panjang di kawasan pedalaman Baram sudah memiliki bekalan elektrik selama 24 jam.

Bagaimanapun, penduduk harus bekerjasama bagi menjaga SARES ini agar dapat terus berfungsi dengan baik dengan Bateri Lithium yang digunakan hanya mempunyai jangka hayat selama 5 tahun dan perlu dijaga agar ianya tidak cepat rosak.

Dalam pada itu, Kerajaan Sarawak terus komited untuk memastikan kesejahteraan hidup rakyat di kawasan luar bandar terus terjamin apabila merangka projek air bersih menerusi Water Grid Master Plan yang akan memberi manafaat besar kepada rakyat luar bandar tidak lama lagi.

Antara kampung yang terlibat dalam penerimaan Projek SARES Fasa 3 dan 4 ialah Kampung Liomato, Kampung Ba’ Muboi, Kampung Long Ajeng, Kampung Long Tungan, Kampung Long Selaan, Kampung Long Moh, Kampung Long Jeeh, Kampung Long Jekitan dan Kampung Long Tikan.

Sementara itu, Menteri Muda Utiliti (Bekalan Elektrik) Datuk Liwan Lagang meminta masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mulu akan terus memberikan sokongan penuh kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu Datuk Gerawat Gala dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di atas apa yang telah dilakukan beliau selama ini dalam membangunkan DUN Mulu.

“Saya percaya dan yakin pada pilihan raya yang akan datang dengan terbuktinya apa yang telah dilakukan oleh Datuk Gerawat tidak mustahil kita akan mendapat majoriti yang lebih lagi ini,” ujarnya.

Bagi Timbalan Speaker DUN Sarawak Dato Gerawat Gala yang juga ADUN Mulu memaklumkan sehingga kini sebanyak seratus lebih buah rumah panjang di sini telah mendapat bekalan elektrik 24 jam berbanding 11 rumah panjang dan kampung yang kini sedang dalam proses mendapatkan bekalan elektrik.

“Hanya 11 buah rumah panjang dan kampung sahaja yang perlu dilaksanakan pemasangan bekalan elektrik untuk tahun 2021.

“Di kawasan Kedayan Telang Usan ini, hanya Lembah Kabang, Long Senawan dan mungkin satu dua rumah atau Kampung Penan dalam Sekaan nanti akan mendapat bekalan elektrik pada hujung tahun ini,” katanya.

Pada majlis itu, beliau telah meluluskan RM100,000 sebagai tambahan bagi menyambung Jalan Simen Kampung dan RM27,000 lagi untuk projek baik pulih rumah di Liomato.

Dalam pada itu, sebanyak 22 jalan telah dinaik taraf di DUN Telang Usan dan DUN Mulu, dengan 13 daripada jalan ini telah dilaksanakan di DUN Mulu dengan kos sebanyak RM600 juta.

Sehingga kini, 6 dari 13 jalan di DUN Mulu itu adalah di Kedaya Telang Usan meliputi jarak sepanjang 122 kilometer yang memerlukan kos RM164 juta.

Hadir sama Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau, Naib Presiden SARES, Sarawak Energy Berhad Dr. Chen Shiun dan Pegawai Daerah Telang Usan Baru Tai.