KUALA LUMPUR: Peningkatan had mininum hutang sebelum seseorang itu diisytihar bankrap daripada RM50,000 kepada RM100,000 merupakan satu keputusan yang tepat.

Senator Datuk Paul Igai berkata, cadangan untuk menaikkan kadar ambang muflis kepada RM100,000 adalah hasil libat urus bersama pihak kerajaan dengan institusi kewangan.

“Ini bermakna institusi kewangan bersetuju dengan cadangan pindaan kepada Akta yang kita bahas pada petang ini.

“Adakah pihak bank akan mempertimbangkan sekiranya peminjam yang mempunyai tunggakkan pembayaran pinjaman melebihi dari tiga bulan, iaitu bersamaan dengan baki pinjaman melebihi dari RM100,000 tidak diambil tindakan dengan menarik harta persendirian peminjam seperti pemilikan kenderaan, adakah bank masih menggunakan Akta Sewa beli,” soalnya semasa Perbahasan Rang Undang-undang Insolvensi (Pindaan) 2020 dalam Persidangan Dewan Negara hari ini.

Selain itu, tambah beliau, apakah punca lain mengakibatkan seseorang tersebut bankrap.

Justeru soalnya, bagaimanakah langkah-langkah holistik akan diambil bagi mengelak seseorang tersebut mudah menjadi bankrap.