KUALA LUMPUR: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau  kini mempunyai majoriti kukuh ahli parlimen untuk membentuk kerajaan baharu dalam masa terdekat.

Dalam satu sidang media tergempar di Kuala Lumpur pada tengah hari  Rabu, beliau menegaskan pada saat ini kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh.

“Dengan sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan, bermakna pada saat ini kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh,” katanya disambut tepukan, sorakan dan laungan ‘reformasi’ daripada penyokongnya menurut Astro Awani.

Kata beliau lagi, maklumat dan langkah selanjutnya akan dimaklumkan selepas beliau bertemu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam masa terdekat.

Ahli Parlimen Port Dickson itu membuat pengumuman itu di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur hari ini.

Menjawab soalam wartawan, beliau berkata majoriti yang diperoleh adalah konklusif dan bukannya majoriti tipis.

“Bukan, empat, lima atau enam (kerusi) tetapi majoriti,” katanya  seperti dipetik  Malaysiakini.

Jelasnya, ahli parlimen yang menyokongnya terdiri daripada pelbagai parti.

Diasak wartawan untuk maklumat lanjut, Anwar berkata, butiran akan hanya diberikan selepas dia mengadap Yang di-Pertuan Agong yang sekarang berada di Institut Jantung Negara.