KUALA LUMPUR: Suntikan fiskal dilihat sebagai alternatif kepada bantuan segera oleh Kerajaan Malaysia kepada sektor-sektor ekonomi yang memerlukan.

Senator Dr Nuing Jeluing berkata, suntikan fiskal tersebut membolehkan pertumbuhan ekonomi dipercepatkan berikutan jumlah pengangguran masih menjadi masalah besar.

Tambah beliau, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga amat membantu masyarakat di negara ini yang terjejas berikutan pandemik COVID-19.

“Saya hendak tumpukan khusus kepada suntikan fiskal kerana ia menyentuh secara langsung dana daripada kerajaan untuk sektor-sektor yang memerlukan bantuan segera. 

“Saya juga menggesa agar Menteri Kewangan supaya memberi pertimbangan yang serius agar kerajaan melipat gandakan suntikan fiskal untuk memulihkan ekonomi negara” katanya.

Senator Dr. Nuing berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020) di Dewan Negara, semalam.

Sementara itu, beliau memberitahu, Bantuan PRIHATIN amat disambut baik oleh rakyat pelbagai latar belakang.

Jelasnya, pakej tersebut sangat membantu rakyat dalam meneruskan kelangsungan hidup terutamanya kepada mereka yang kehilangan punca pendapatan akibat penutupan sektor ekonomi sepanjang PKP.

“Pemberian tunai sebanyak RM1,600 kepada isi rumah golongan B40 ternyata melegakan dan sangat memberi manfaat kepada mereka.

“Maka RUU ini amat diperlukan bagi memastikan rakyat kekal terjamin,” katanya.

Suntikan Fiskal Bantu Jana Semula Ekonomi Negara – Dr NuingKUALA LUMPUR: Suntikan fiskal dilihat sebagai alternatif…

Posted by Unit Komunikasi Awam Sarawak-UKAS on Monday, September 21, 2020