MARUDI: Kejadian banjir yang berlaku di kawasan Tinjar pada 14 hingga 17 September lepas dan menyebabkan kawasan itu terputus hubungan telah mendapat perhatian daripada Menteri Muda Kerajaan Tempatan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi Datu Dr Penguang Manggil.

Justeru, pada Isnin, beliau bersama rombongan telah menghantar 638 pek makanan asas kepada mangsa banjir di beberapa penempatan yang terjejas.

Antara penempatan yang banjir dan menerima bantuan makanan asas ialah Rh Joben, Long Tabing sebanyak 84 pek, Rh Jarau, Long Tabing sebanyak 158 pek, Kampung Long Teran Kiri sebanyak 80 pek, Kampung Long Teran Batu sebanyak 23 pek, Kampung Long Teran A sebanyak 64 pek dan Kampung Long Teran B sebanyak 27 pek.

Turut menerima Sekolah Kebangsaan (SK) Long Teran sebanyak 9 pek, Klinik Kesihatan Long Teran sebanyak 5 pek, Rh Francis Ubi, Long Jegan A sebanyak 107 pek, Rh Dennis Tija, Long Jegan B sebanyak 62 pek, SK Long Jegan sebanyak 18 pek dan Klinik Kesihatan Long Jegan sebanyak 1 pek.

Turut terlibat dalam penghantaran bantuan makanan ini ialah Pejabat Daerah Beluru, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dengan menggunakan bot ekspres.

Hadir sama Pegawai Daerah Beluru merangkap Pengerusi Pengurusan Bencana Peringkat Daerah Beluru Alfred Geling anak Ason, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Miri Sayurawati Fatyrin bte Japadilin, BOMBA Lopeng Miri Disun Jok, APM Miri Sarjan Awang Idrus, Balai Polis Beluru Kopral Hamzah dan PDP Ibu Pejabat Sallih anak Bitin.