KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020 merupakan langkah prihatin kerajaan dalam  memastikan rakyat bersedia berdepan impak penularan pandemik tersebut.

Senator Susan Chemerai Anding berkata, menerusi RUU itu, kerajaan akan memberi fokus kepada usaha-usaha memperkukuhkan kesihatan awam dalam mengendalikan COVID-19.

Jelas beliau, pada masa yang sama, RUU tersebut menjaga kebajikan rakyat terutamanya kumpulan yang mudah terdedah dan menjaga aliran pendapatan perniagaan dan juga pekerja yang terjejas.

“Dalam erti kata lain, RUU ini langkah prihatin yang akan memastikan kita dapat merasai hidup seperti biasa seakan-akan wabak ini tidak melanda dan rakyat dan negara terus dapat melangkah ke hadapan.

“Namun saya berharap kerajaan akan memastikan peruntukan ini akan betul-betul sampai ke kumpulan sasar dan sebaik-baiknya tiada golongan yang tercicir dari bantuan,” katanya.

Senator Susan Chemerai berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020) di Dewan Negara, semalam.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kerajaan seharusnya juga mencari jalan untuk membantu sekiranya peniaga yang sudah gulung tikar akibat COVID-19.

Ujar beliau, orang perseorangan dan perniagaan menanggung risiko tinggi semasa berhadapan dengan kekangan aliran kewangan apabila pendapatan mereka berkurangan.

“Saya juga memohon penjelasan apakah langkah kerajaan untuk membantu pekerja yang sudah hilang pekerjaan akibat COVID-19,” katanya.

Langkah Prihatin Kerajaan Bantu Rakyat Terjejas Akibat COVID-19KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah…

Posted by Unit Komunikasi Awam Sarawak-UKAS on Monday, September 21, 2020