KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,866 program Tiada Minggu Tanpa Advokasi (TMTA) dilaksanakan di seluruh negara setakat ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah berkata, program TMTA yang telah dilaksanakan merangkumi kategori advokasi kempen keselamatan jalan raya.

Menurutnya, antara aktiviti utama di bawah TMTA adalah mengadakan sesi libat urus dan kerjasama dengan pihak premis jualan makanan, pengilang dan pusat hiburan.

“Inisiatif ini bagi meningkatkan kesedaran berkaitan tanggungjawab dan tindakan pihak berkenaan termasuk dalam meningkatkan kesedaran berkaitan kesalahan memandu dalam keadaan mabuk.

“Program advokasi khas keselamatan jalan raya berkenaan bahaya memandu di bawah pengaruh alkohol juga telah diadakan di restoran-restoran dan bar pada setiap minggu yang dilaksanakan berselang seli dengan program keselamatan jalan raya yang lain seperti kepentingan menggunakan tali pinggang keledar dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan lisan Senator Ismail Yusof dalam Persidangan Dewan Negara semalam.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, Kementerian Pengangkutan menerusi agensi-agensinya seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) sentiasa melaksanakan program-program dan kerjasama berkaitan kesedaran keselamatan jalan raya termasuk berkaitan dengan aspek memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Program kempen ‘don’t drink and drive’ juga sentiasa dilaksanakan dan program terbaru adalah pada 17 Julai 2020 mulai pukul 5 hingga 11 malam di premis restoran dan premis menjual minuman keras di sekitar bandar Kajang dan Semenyih, Petaling Jaya dan Puchong.

“Program yang sama juga secara berterusan diadakan di seluruh negara termasuk di Pulau Pinang, Kuching dan Kota Kinabalu,” jelasnya.

Sebanyak 1,866 Program TMTA Dilaksanakan Setakat Ini – Hasbi HabibollahKUALA LUMPUR: Sebanyak 1,866 program Tiada…

Posted by Unit Komunikasi Awam Sarawak-UKAS on Monday, September 21, 2020