KUCHING: Pengukuhan integriti dalam organisasi merupakan asas dalam menyampaikan perkhidmatan yang berkualiti kepada masyarakat umum.

Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ketua jabatan dan ketua-ketua bahagian perlu bersikap tegas dalam pembudayaan integriti dalam kalangan warga kerja khususnya melibatkan Kementerian Belia dan Sukan Sarawak.

Tegas beliau, setiap perlakuan rasuah yang berlaku juga perlu dilaporkan kepada pihak pengurusan tertinggi dan pihak berkuasa berwajib.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Hari Integriti dan Pelancaran Bengkel Pelan Anti-Rasuah Organisasi (OACP) di sebuah hotel di Kuching hari ini.

Turut hadir Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan dan Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sarawak, Nancy Jolhi.

Sementara itu, beliau memberitahu, sifat jujur, amanah dan integriti adalah menjadi nilai intrinsik yang menjadi tunjang dan pasak kemajuan ekonomi negeri.

Dalam majlis sama, lafaz ikrar integriti dalam kalangan warga kerja Kementerian Belia dan Sukan turut berlangsung.

Sejurus selepas itu, sesi tandatangan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dan penyerahan ikrar kepada Menteri juga diadakan.