MERSING: Seorang bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan, ditemukan dalam sebuah beg yang ditinggalkan di tepi jalan berhampiran Balai Raya Kampung Tenglu Laut di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Mersing Supt Cyril Edward Nuing berkata bayi itu yang masih bertali pusat, diletakkan dalam sebuah beg dengan hanya beralaskan kain batik, kira-kira 2 petang.

“Polis menerima maklumat daripada orang ramai memaklumkan menemukan seorang bayi yang masih hidup dan cukup sifat di tepi jalan berhampiran balai raya tersebut.

“Bayi itu kemudiannya diselamatkan dan dirawat di Klinik Kesihatan Tenglu, sebelum dihantar ke Hospital Mersing untuk rawatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan, di sini, malam tadi seperti dipetik Bernama.

Bayi berkenaan yang dipercayai baru berusia 24 jam, kini dilaporkan dalam keadaan stabil.

Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi, boleh dihukum penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Cyril turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya tampil bagi membantu siasatan.