SEJAK menjadi Ketua Menteri sekitar tiga tahun lalu, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg  tidak putus-putus memperkenalkan inisiatif dan langkah baharu.  Bagi sebahagian rakyat, mereka mahu tahu bagaimana beliau mendapat idea sebelum sesuatu inisiatif atau dasar dicetuskan dan digubal.

Setakat  minggu ini beliau telah menampilkan lebih daripada 80 inisiatif yang hakikatnya berpaksikan kepentingan rakyat dan masa depan negeri ini. 

Inisiatif dan idea kreatif berkenaan meliputi pelbagai bidang, termasuk hak Sarawak, kemudahan asas, bekalan elektrik dan air, pengangkutan, agama,  pendidikan, bantuan rakyat, ekonomi dan kewangan.  

Daripada semua itu, antara pencapaian terbesar Pengerusi GPS dan Presiden PBB itu ialah mempelbagaikan hasil cukai negeri melalui pelaksanaan cukai jualan lima peratus ke atas produk petroleum dan gas berkuat kuasa 1 Januari tahun lalu. 

Satu lagi kejayaan utama beliau  adalah apabila Kerajaan Sarawak mencapai persetujuan dengan Kerajaan Persekutuan untuk mengambil alih Empangan Hidroelektrik Bakun melalui syarikat miliknya Sarawak Energy Berhad (SEB) yang menjadi stesen tenaga hidroelektrik terbesar di negara ini dengan nilai RM2.5 bilion.

Pada 8 Mac 2017 Kerajaan Negeri Sarawak dan Kementerian Kewangan Malaysia mencapai persetujuan untuk menyerahkan 100 peratus saham Sarawak Hidro Sdn Bhd (SHSB) kepada Sarawak untuk memiliki dan mengendalikan sepenuhnya HEP Bakun melalui anak syarikat utiliti milik kerajaan negeri SEB.

Menurut pemerhati  idea untuk mempelbagaikan hasil negeri itu penting bagi menampung kekurangan hasil negeri dalam bidang tertentu ekoran beberapa langkah yang diambil pemimpin terdahulu. 

Dalam beberapa ucapan dan wawancara, Abang Johari mengakui bahawa idea untuk memperkenalkan cukai jualan hasil minyak dan gas tercetus selepas beliau solat dan berdoa. 

Dalam satu majlis di Kuching pada 7 September 2019, beliau berkata: “Selepas solat, saya melihat Perlembagaan Persekutuan dan mengetahui kita mempunyai hak di bawah Jadual Kesembilan untuk mengenakan cukai jualan dan hasil.” 

Hasil cukai berkenaan diperkenalkan mulai Januari tahun lalu, namun Petronas ketika di bawah Kerajaan PH enggan menjelaskan cukai berkenaan. 

Justeru, Kerajaan Sarawak  mengambil tindakan drastik menyaman Petronas ekoran keengganan syarikat minyak dan gas itu membayar cukai jualan produk petroleum yang digali di negeri selepas ia melanggar Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998.  Tindakan itu diambil kerana ia yakin boleh menang kerana hak tersebut termaktub di bawah perlembagaan.

Pada 13 Mac tahun ini, Mahkamah Tinggi Kuching memutuskan Perkara 95B (3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Dewan Undangan Negeri Sabah dan Sarawak dibenarkan menggubal undang-undang untuk mengenakan cukai jualan.

Peruntukan itu menetapkan bahawa mana-mana cukai jualan dikuatkuasakan oleh undang-undang negeri disifatkan sebagai antara perkara yang ditetapkan dalam senarai negeri, Ordinan Cukai Jualan Negeri dan mana-mana perundangan tambahan disenaraikan di bawahnya adalah berperlembagaan dan sah. 

Namun, Petronas mencabar saman difailkan Kerajaan Sarawak itu bagi menuntut cukai jualan terhadap produk petroleum keluaran syarikat berkenaan meskipun syarikat Shell, Murphy Oil, Pertamina dan Sapura OMV melunaskan cukai tanpa banyak soal. 

Selepas perubahan kepemimpinan di peringkat pusat pada awal Mac, Kerajaan Sarawak dan Petronas mencapai persetujuan pada Mei lalu untuk kedua-dua pihak menarik balik tindakan undang-undang. Implikasinya, Sarawak berhak mengutip cukai jualan bagi produk petroleum. 

Justeru, tindakan Petronas dan  anak syarikatnya, menyelesaikan pembayaran SST bernilai lebih RM2.9 bilion, bagi produk petroleum tahun 2019 pada Khamis lalu, tentu melegakan semua pihak.

Penyerahan cek di   Wisma Bapa Malaysia pada Khamis sekali gus menangkis kesangsian dan kesinisan sesetengah pihak tentang hak Sarawak untuk mengenakan cukai berkenaan.  SST bernilai RM2.9 bilion itu dinilai ‘comptroler’ sesuai dengan Ordinan Cukai Jualan Negeri Sarawak 1998.

Sesungguhnya, pembayaran SST itu ialah hasil penyelesaian yang dicapai antara syarikat terbabit dengan Kerajaan Sarawak. Juga, kerjasama baik antara Kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ketika di bawah Kerajaan PH, bukan sahaja banyak projek dibatalkan, malah, usaha mengenakan cukai berkenaan berdepan kekangan. 

Yang lebih mendukacitakan,  janji PH untuk membantu Sarawak seperti terkandung dalam manifesto mereka tidak lebih daripada omong kosong. Janji hendak memberi royalti  minyak sebanyak 20 peratus juga sia-sia. 

Alasan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu ialah jika Petronas membayar kadar royalti 20 peratus, ada kemungkinan operasinya akan lumpuh, malah ia akan membunuh syarikat itu. Malah, beliau dipetik sebagai berkata, kerajaan perlu melihat kembali royalti lima peratus kepada Sabah dan Sarawak, kerana ia juga dirasakan sangat besar.  Bayangkan!

Maksudnya, jika PH dan Dr Mahathir masih memerintah, semua itu tentu tidak akan menjadi kenyataan dan rakyat Sarawak tentu terus kempunan. 

Jadi, langkah dan keputusan Abang Johari dan GPS menyertai Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin adalah tepat dan berbaloi. Berbanding di bawah pemerintahan PH dan Dr Mahathir, banyak keuntungan dan manfaat diperoleh Sarawak, terutama dari segi peruntukan dan pembangunan. Satu daripadanya ialah hasil cukai  jualan  lima peratus daripada Petronas. 

Kini, sudah tentu  Abang Johari  dapat senyum lega dan bangga atas idea dan inisiatif beliau itu. Kini beliau dapat menumpukan perhatian kepada perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan untuk mencapai penyelesaian komersial mengenai hal-hal lain yang berkaitan dengan minyak dan gas yang dijumpai dan dihasilkan di Sarawak.

Langkah Petronas melunaskan cukai berkenaan, disambut baik semua pihak. Semua peringkat masyarakat daripada pelbagai kaum  memberi reaksi positif  terhadap kejayaan Sarawak mendapat cukai berkenaan daripada Petronas. 

Bagi mereka, ini merupakan antara kejayaan cemerlang Abang Johari sejak menjadi Ketua Menteri. Idea, komitmen dan kesungguhan beliau memperjuangkan hak Sarawak sebagaimana termaktub di bawah perlembagaan akhirnya membuahkan hasil.  Ini merupakan hadiah bagi rakyat Sarawak sempena ulang tahun ke-57 Hari Malaysia.

Ia bukan sahaja menggambarkan keupayaan Abang Johari meningkatkan dan mempelbagaikan pendapatan dalam peruntukan undang-undang, malah daripada ‘durian runtuh’ itu, banyak yang dapat dilakukan. Ini ialah contoh bagaimana semangat asal Perjanjian Malaysia dan hak Sarawak dapat dipenuhi.

Saya percaya, rakyat Sarawak mahu melihat hasil cukai berkenaan dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin demi kesejahteraan mereka dan masa depan negeri ini.  

Abang Johari mengakui bahawa hasil berkenaan akan digunakan untuk memacu pembangunan di Sarawak. Pendapatan tambahan itu nanti akan memberi kesan dan impak besar dari segi pembangunan di Sarawak ketika Kerajaan Negeri serius memacu dan merancakkan pembangunan terutama di luar bandar.

Pada jangka panjang, ia akan menguntungkan semua lapisan masyarakat terutama di luar bandar.  

Dengan fokus kerajaan pimpinan beliau terhadap pembangunan luar bandar, hasil cukai yang diterima itu bakal digunakan untuk membangunkan Sarawak. 

Prasarana, kemudahan dan segala keperluan termasuk bekalan air bersih dan elektrik tentu akan diberikan perhatian serius oleh kerajaan. Wang berkenaan  tidak syak lagi tentu akan meringankan tanggungan kewangan. 

Malah, hal ini terbukti daripada komitmen kerajaan Sarawak untuk terus merancakkan pembangunan di luar bandar. Daripada sekitar RM20 bilion belanjawan negeri untuk dua tahun terakhir, sekitar 70 peratus adalah untuk pembangunan luar bandar. 

Jadi, sebanyak  hampir RM3 bilion yang diterima daripada syarikat minyak dan gas nasional itu datang pada waktu ketika Abang Johari dilihat begitu komited dan serius untuk memacu dan merancakkan pembangunan di negeri ini dalam hal membabitkan kepentingan dan kebajikan rakyat. 

Sesungguhnya, pendapatan tambahan hasil cukai berkenaan akan menjadi pemangkin  dan penjana pembangunan pada jangka panjang demi masa depan rakyat dan negeri ini.