MARUDI: Di Sarawak, politiknya bersifat politik pembangunan yang memberi perhatian kepada setiap keperluan masyarakatnya sama ada di bandar dan luar bandar.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang anak Manggil berkata, untuk itu Kerajaan Sarawak akan terus memastikan setiap kawasan luar bandar termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Marudi ini terus dibangunkan dengan infrastruktur.

“Tidak lama lagi, bekalan elektrik akan sampai di kawasan ini dengan ketika ini tiang elektrik telah dipasang dan hanya menunggu pemasangan kabel sahaja.

“Begitu juga dengan tiang pemancar telefon yang telahpun dipasang dan hanya menunggu syarikat pembekal telco untuk memasang antena mereka.

“Ketika ini telah sampai 34 biji tangki air yang akan digunakan sementara sebelum projek bekalan air bersih sampai di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Langat anak Anthony Collins Ng Majang Tinjar pada Ahad.

Datu Dr Penguang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi menjelaskan Kerajaan Sarawak menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak telah pun meluluskan peruntukkan sebanyak RM840,000 sebagai bantuan kepada penduduk Rumah Panjang Langat.

“Bantuan ini bukan bersifat pinjaman sebaliknya berupa bantuan bagi membina semula rumah panjang yang telah terbakar sebelum ini pada 2018.

“Setakat ini, saya telah memberikan bantuan sebanyak RM85,000 bagi menyediakan tapak rumah panjang yang baharu.

“Penduduk perlu meminta khidmat nasihat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamata Malaysia (JPBM) dari segi soal keselamatan sebelum memulakan proses pembinaan rumah panjang yang baharu,” jelasnya.

Berhubung dengan pembinaan gereja, Datu Dr Penguang meminta penduduk dan jawatankuasa terlibat memohon bantuan daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) menerusinya dengan tapak gereja perlu dikenal pasti terlebih dahulu.

Pada majlis itu, beliau telah mengumumkan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM15,000 untuk menyiapkan tapak rumah panjang panjang baru dan keperluan berkaitan, dan RM5,000 kepada Biro Wanita.

Hadir sama Pegawai Daerah Beluru Alfred Geling, Kaunselor Majlis Daerah Marudi Stephen Kelat, Penghulu Musin dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum. 

Politik Pembangunan Di Sarawak Tetap Beri Perhatian Kepada Keperluan Masyarakat Di Bandar Dan Luar BandarMARUDI: Di…

Posted by Unit Komunikasi Awam Sarawak-UKAS on Sunday, September 20, 2020