TRUSAN: Ketika penularan COVID-19, industri pelancongan merudum jatuh dan menyebabkan Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) mengambil inisiatif mempromosikan tempat, budaya, makanan dan sebagainya yang ada di Malaysia bagi menarik kedatangan pelancong tempatan.

Menterinya Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, menyedari keadaan itu pihaknya berusaha mengenal pasti produk-produk tempatan yang boleh dijadikan tarikan kepada industri pelancongan seperti yang ada di Kampung Long Tengoa, Trusan Lawas ini.

“Apa yang uniknya di sini bukan sahaja gadis-gadisnya yang cantik dan jejaka yang tampan, tetapi yang unik sekali ialah kebudayaannya.

“Jika tidak kerana kebudayaan itu sesuatu yang unik, orang tidak akan berani melakukannya.

“Dengan keunikan ini menyebabkan kita boleh gunakan untuk menarik orang melawat dan melancong di tempat kita khususnya di Kampung Long Tengoa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam lawatan kerja rasmi ke Kampung Long Tengoa, Trusan Lawas pada Sabtu.

Dato Sri Nancy juga turut menggesa penduduk menggunakan media sosial sebagai platform terbaik bagi mempromosi produk pelancongan yang ada di sini bagi pengetahuan masyarakat luar.

Sementara itu, Timbalan Menteri II, Pembangunan Luar Bandar merangkap Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong meminta masyarakat untuk terus menyokong kerajaan yang sedia ada ini supaya dapat menikmati kemudahan dan bantuan.

“Jika kawasan ini terus berada dalam pentadbiran wakil rakyat Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), masyarakat akan terus menikmati kemudahan pembangunan dan bantuan secara berterusan.

“Bagi penduduk Kampung Long Ibau, pembinaan jalan akan mula dilaksanakan pada bulan ini (September) dan pada masa yang sama permohonan sebuah jambatan merentasi Sungai Tengoa juga telah diluluskan.

Pada majlis itu, Dato Sri Nancy telah merasmikan Rumah Kebudayaan Kaum Tagal dan turut mengumumkan peruntukkan sebanyak RM20,000 untuk Kampung Long Tengoa.

Hadir sama pegawai dan kakitangan MOTAC ibu pejabat, Pengarah MOTAC Negeri Sarawak Suria Charles Buas, Pegawai Daerah Lawas Laidin bin Atok, Ketua-ketua Jabatan dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK).

Keunikan Budaya Tarikan Kepada Industri Pelancongan Tempatan Khususnya Di SarawakTRUSAN: Ketika penularan COVID-19,…

Posted by Unit Komunikasi Awam Sarawak-UKAS on Sunday, September 20, 2020