Kawasan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bidayuh kebanyakannya terletak di kawasan pinggir bandar raya Kuching. Justeru, terdapat pelbagai limpahan maklumat dan kepekaan terhadap isu-isu di kawasan bandar lebih mudah diperoleh. Walaupun jarak kawasan penempatan Bidayuh begitu dekat dengan bandar raya, namun DUN Bidayuh juga tidak terlepas dengan isu-isu setempat yang melanda dalam masyarakat mereka.
Isu Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) masih lagi isu utama bagi kebanyakan tempat kawasan Bidayuh walaupun sebelum ini sebuah Jawatankuasa Khas Tanah Adat Bumiputera (BCR) telah ditubuhkan untuk menangani isu ini. Terdapat 128 perkampungan Bidayuh terlibat dalam pendokumentasian tanah NCR, namun belum banyak lagi pemberian surat hak milik tanah NCR dikeluarkan.
Hal ini menyukarkan pemilik tanah untuk mendapatkan pinjaman atau membuat cagaran bagi mengusahakan tanah mereka bagi tujuan pertanian mahupun pembangunan yang dapat menjana pendapatan mereka dengan lebih baik.
Muka Lama
Kini ramai anak-anak Bidayuh telah berjaya dalam pelbagai bidang seperti profesional dan teknokrat. Golongan ini mempunyai pelbagai pemikiran yang lebih segar dalam berhadapan dengan pembangunan semasa. Namun ruang untuk menyumbang dalam politik agak terbatas kerana dominasi muka-muka lama dalam politik masih lagi berlaku. Terdapat suara mahukan muka-muka baru mengambil tempat dan kedudukan daripada ahli politik yang sudah lama menjadi wakil rakyat.
yang menyatakan umur anak mereka sudah 24 tahun sama seperti penglibatan ahli politik sebagai wakil rakyat. Jadi tiba masanya muka baharu diketengahkan dalam pilihan raya negeri Sarawak. Hal ini penting bagi memastikan kesinambungan kepimpinan lama dan baharu dalam politik bidayuh.
Terdapat lapan kerusi Bidayuh, iaitu Wakil rakyat bagi kerusi Dun tersebut adalah Manyin (Tebedu), Datuk Dr Jerip Susil (Mambong), Datuk Roland Sagah Wee Inn (Tarat), Datuk Ranum Mina (Opar), Martin Ben (Kedup), Miro Simuh (Serembu) dan John Ilus (Bukit Semuja). Isu muka baru dan muka lama salah antara satu isu, namun isu setempat lain tidak kurang panasnya. Terdapat beberapa isu menarik di beberapa kerusi Bidayuh, khususnya di Mambong, Bukit Semuja, Opar dan Tarat serta Tebedu.
Di Tebedu, kerusi ini disandang oleh veteran politik yang kini berusia 76 tahun yang kini merupakan Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi negeri Michael Manyin Jawong. Beliau sebelum ini pernah menyatakan keyakinan tinggi parlimen Puncak Borneo akan mendapat kemenangan besar pada pilihan raya umum 2018. Namun keyakinan tersebut meleset apabila Parlimen Puncak Borneo yang merupakan majoriti terdiri daripada pengundi Bidayuh memilih tewas kepada Parti Keadilan Rakyat, iaitu diwakili Willie Mongin. Kekalahan ini mencipta sejarah apabila menjadi satu-satunya kerusi parlimen PBB tewas dalam pilihan raya umum 2018.
Perlu Perhatian
Kini sekali lagi Michael Manyin menyatakan keyakinan bahawa semua lapan kerusi majoriti Bidayuh akan menang pada pilihan raya negeri Sarawak yang akan diadakan tidak lama lagi. Hal ini menyebabkan kebimbangan Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Abdul Karim Rahman Hamzah yang prihatin dengan kerusi Bidayuh ini kerana berlakunya perubahan undi yang memihak kepada pembangkang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dua tahun lalu.
“Kami agak bimbang mengenai tempat duduk Bidayuh. Semoga semuanya berjalan lancar dalam pilihan raya negeri akan datang, kerana pada pilihan raya parlimen yang lalu, dua kerusi jatuh – untungnya Serian menyelamatkan kita dari rasa malu.
“Jadi, dalam pilihan raya negeri berikutnya, kita harus bekerja keras untuk memastikan tidak hanya kerusi di daerah Serian-Bukar Sadong dimenangi, tetapi juga kerusi di Bau, Lundu dan Padawan juga dimenangkan (melalui GPS). Kami tidak mahu kaum Bidayuh berpecah, ”tegas Karim Hamzah yang tidak mahu berlakunya tragedi politik di kerusi Bidayuh berulang lagi.
Ternyata masyarakat Bidayuh tidak lagi sekadar menjadi pemerhati perlakuan politik pemimpin mereka. Mereka kini berani membuat perubahan apabila suara mereka dipinggirkan dan pemimpin besar sesuka hati meletakkan calon pilihan tanpa rundingan dan mendengar sentimen suara dari bawah. Sekiranya ini berlaku lagi, bermakna ada kerusi PBB daripada GPS terlepas ke tangan pembangkang Sarawak.
Prestasi Setempat
Di Dun Serembu, persaingan sengit dijangka berlaku sebelum ini, namun dijangka akan sejuk. Hal ini kerana sebelum ini dalam PRN 2016, kerusi Serembu dimenangi dengan undi tipis 1397 sahaja. Miro mewakili BN mendapat 3452, Peter Nyomek Nyeap memberikan saingan besar walaupun atas tiket bebas dengan memenangi 2055 undi, PKR mendapat 1218 undi melalui Athina Klaywa Sim dan parti Star diwakili Buln Patrick Ribos mendapat 120 undi. Berdasarkan pola pilihan raya 2016 ini, kedudukan kerusi Serembu agak genting dan panas lebih-lebih lagi sekiranya pembangkang atau calon bebas yang bertanding tersebut sangat popular dalam kalangan penduduk setempat.
Kerusi Serumbu pernah jadi perebutan di antara PBB dengan SUPP. Hal ini kerana SUPP mendakwa kerusi ini milik mereka walaupun sudah disempadan semula. Namun pimpinan PBB telah mempunyai akar umbi dan 3000 keahlian. Perebutan ini boleh mewujudkan calon proksi pada PRN akan datang. Namun Miro mempunyai kelebihan pada PRN Sarawak akan datang. Hal ini kerana beliau sudah menjadi wakil rakyat dan mampu memanfaatkan kemudahan yang ada sebagai wakil rakyat kerajaan untuk membantu orang kampung seperti bantuan pertanian dan penanaman bagi merapatkan lagi hubungan dengan pengundi. Bantuan RTP dan MRP pula mampu melonjakkan pembangunan di Serembu dan menjadikan Miro meningkat populariti. Ancaman PKR dilihat kurang sejak perpecahan PKR, namun sekiranya cawangan PKR dihidupkan secara rancak maka ini akan memberikan kesan terhadap kerusi Serembu. Pesaing Miro terdahulu, iaitu Datuk Peter Nyomek pula kini sudah menyertai Parti Rakyat Sarawak (PRS), bermakna saingan sebenar Miro sudah berada dalam liga yang sama, iaitu komponen GPS. Hal ini menjadikan kerusi Serembu panas menjadi sejuk!
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.