DELHI: Coretan Shiv Ramdas menceritakan kisah lucu membabitkan abang ipar dan kakaknya viral di media sosial baru-baru ini.

Menurut Ramdas, abang iparnya yang bosan kerana terpaksa membeli beras setiap hari mengambil keputusan membeli beras secara pukal.

Namun gara-gara kesilapan komunikasi dengan penjual beras, rancangannya kantoi kerana dia bukan menerima seguni beras sebaliknya dia menerima satu lori beras pula.

Isterinya yang merupakan kakak Ramdas dikatakan marah dengannya menyebabkan abangnya terpaksa meminta pemandu lori itu membawa pulang beras tersebut.

Pemandu lori itu bagaimanapun enggan berbuat demikian biarpun dia cuba disogok oleh abang iparnya dengan sebungkus rokok.

Sekali lagi tindakan abang iparnya kantoi dan menimbulkan kemarahan isterinya kerana abang iparnya berjanji tidak merokok pada hari minggu, tetapi ternyata dia masih membawa bungkusan rokok di dalam poketnya.

Apabila semuanya tidak berjaya, pembantu gudang beras itu yang dikenali sebagai Manu dipanggil untuk menyelesaikan masalah ini.

Akhirnya mereka berjaya mencapai persetujuan membawa pulang beras tersebut selepas pemandu terbabit dan Manu bersetuju menerima sogokan berupa empat botol minuman keras, dua botol untuk Manu dan dua botol untuk pemandu tersebut.

Menurut Ramdas dia mengetahui kisah ini menerusi panggilan telefon ibunya dan mengambil keputusan menulis kisah ini di akaun Twitternya.

Gaya penulisan Ramdas yang bersahaja dan lucu membuat orang ramai terhibur membacanya.